Alisson tenang hadapi keraguan, Brazil sedia buka kempen Piala Dunia 2026

Alisson tenang hadapi keraguan, Brazil sedia buka kempen Piala Dunia 2026

AFP

Morristown: Penjaga gol Brazil, Alisson Becker menegaskan dia tidak terganggu dengan keraguan yang dilemparkan terhadap kemampuan Selecao menjelang Piala Dunia 2026, sebaliknya menganggap ia sebagai satu kelebihan buat pasukannya.

Brazil yang lima kali bergelar juara dunia kini sekali lagi tidak berada dalam senarai pilihan utama untuk menjuarai kejohanan, dengan tumpuan lebih diberikan kepada Argentina, Sepanyol, Perancis serta England dan Portugal.

Alisson berkata situasi tersebut bukan perkara baharu buat Brazil, malah pernah berlaku dalam edisi terdahulu yang menyaksikan mereka bangkit sebagai juara walaupun tidak dianggap pilihan utama.

“Adalah satu perkara yang baik apabila ada keraguan terhadap pasukan, kerana perkara itu juga pernah berlaku sebelum ini,” katanya merujuk kepada pengalaman lepas Brazil di pentas Piala Dunia.

Pemain itu turut menegaskan fokus utama ketika ini adalah persefahaman dalam pasukan di bawah kendalian Carlo Ancelotti yang membawa perubahan besar sejak mengambil alih tugas pengendali.

Brazil sebelum ini menamatkan kempen kelayakan di tangga kelima zon Amerika Selatan selepas melalui kempen yang tidak menentu termasuk pertukaran jurulatih sebelum ketibaan Ancelotti.

Namun, prestasi mereka menunjukkan peningkatan apabila mencatat beberapa kemenangan dalam aksi persahabatan termasuk menewaskan Panama 6-2 dan Mesir 2-1.

Selecao kini bersiap untuk aksi pembukaan Kumpulan C menentang Maghribi di Stadium MetLife, New Jersey, sebelum berdepan Haiti dan Scotland dalam saingan kumpulan.

Alisson yang akan membuat penampilan Piala Dunia ketiganya turut menegaskan pengalaman lalu tidak perlu dibebani, sebaliknya dijadikan pengajaran untuk bangkit lebih kuat.

“Saya rasa dalam bola sepak, kita tidak boleh terlalu lama terikat dengan masa lalu,” katanya.

Brazil kali terakhir menjulang Piala Dunia di Amerika Syarikat pada 1994, namun sejak itu mereka hanya sekali mara ke separuh akhir apabila tewas 7-1 kepada Jerman pada 2014 di laman sendiri.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top