Mexico buka tirai Piala Dunia 2026 dengan bergaya, tiga kad merah cemari aksi Azteca

Mexico buka tirai Piala Dunia 2026 dengan bergaya, tiga kad merah cemari aksi Azteca

Mexico City: Mexico memulakan kempen Piala Dunia 2026 dengan langkah kanan apabila menewaskan Afrika Selatan 2-0 dalam aksi pembukaan Kumpulan A di Estadio Azteca, awal pagi tadi.

Di hadapan kira-kira 80,000 penyokong yang memenuhi stadium ikonik itu, tuan rumah tampil lebih tersusun dan agresif untuk menguasai sebahagian besar permainan.

Julian Quinones menceriakan penyokong Mexico apabila meledak gol pertama Piala Dunia 2026 pada minit kesembilan untuk memberikan kelebihan awal kepada pasukan tuan rumah.

Afrika Selatan cuba bangkit selepas itu, namun berdepan kesukaran menembusi benteng Mexico yang tampil lebih berdisiplin selain beberapa kali mencipta peluang berbahaya menerusi serangan balas pantas.

Drama tercetus seawal babak kedua apabila pertahanan Bafana Bafana, Sphephelo “Yaya” Sithole, dilayangkan kad merah terus pada minit ke-49 selepas menjatuhkan Brian Gutiérrez yang berada dalam posisi terbaik untuk menjaringkan gol. Insiden itu menyaksikannya menjadi pemain pertama dibuang padang pada Piala Dunia 2026.

Kekurangan seorang pemain nyata menjejaskan rentak Afrika Selatan dan keadaan menjadi lebih buruk apabila kapten mereka, Themba Zwane, turut diperintahkan keluar padang pada minit ke-83 selepas semakan VAR mendapati beliau menarik Roberto Alvarado di luar kotak penalti ketika pemain Mexico itu sedang meluru ke arah gawang.

Mexico mengambil kesempatan ke atas kelebihan dua pemain itu apabila Raul Jimenez memastikan kemenangan tuan rumah menerusi jaringan kedua, sekali gus meranapkan harapan Afrika Selatan untuk meraih sekurang-kurangnya satu mata.

Bagaimanapun, aksi panas di Azteca belum berakhir apabila Mexico turut kehilangan seorang pemain selepas pertahanan César Montes dilayangkan kad merah pada separuh masa tambahan separuh masa kedua, menjadikan perlawanan pembukaan itu dicemari tiga layangan kad merah.

Keputusan 2-0 itu menyaksikan Mexico memulakan kempen di laman sendiri dengan penuh bergaya, manakala Afrika Selatan perlu segera bangkit daripada kekalahan dan masalah disiplin jika mahu terus menghidupkan peluang dalam saingan Kumpulan A.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top