'Tidak semudah itu'

'Tidak semudah itu'

asyikin.mat@hmetro.com.my

Membeli rumah secara berkongsi dengan adik-beradik dilihat sebagai satu langkah praktikal.

Ia terutama apabila ingin mengurangkan beban kewangan dan memudahkan kelulusan pinjaman bank.

Namun, di sebalik kelebihan itu, ada beberapa risiko yang boleh memberi kesan jangka panjang daripada aspek kewangan, hubungan kekeluargaan dan undang-undang.

1-Beban kewangan tidak seimbang

Salah satu masalah paling biasa ialah ketidakseimbangan dalam pembayaran.

Pada awalnya, semua pihak bersetuju untuk berkongsi bayaran bulanan pinjaman rumah.

Tetapi, dalam keadaan tidak dijangka, ada kemungkinan seorang daripada adik-beradik berdepan masalah kewangan.

Apabila ia terjadi, adik beradik lain terpaksa menanggung bayaran lebih besar untuk mengelakkan tunggakan pinjaman.

2-Konflik keluarga

Isu kewangan boleh menjejaskan hubungan adik beradik, meskipun hubungan sebelum ini akrab.

Konflik berlaku apabila ada di antara mereka tidak dapat meneruskan pembayaran pinjaman kerana masalah kewangan.

Ataupun, ia disebabkan masalah lain seperti keputusan untuk menyewakan rumah atau menetapkan harga jualan kerana ia memerlukan persetujuan bersama.

3-Kesukaran menjual atau memindah milik rumah

Rumah yang dimiliki secara bersama tidak boleh dijual atau dipindahkan hak milik tanpa persetujuan semua pemilik.

Persetujuan bersama perlu dicapai sebelum sesuatu keputusan diputuskan.

Jika salah seorang ahli keluarga tidak bersetuju untuk menjual rumah, mak proses ini boleh tertangguh dalam jangka masa panjang.

4-Isu pengurusan rumah

Kos penyelenggaraan seperti pembaikan, cukai pintu dan bil utiliti juga perlu dibahagikan.

Jika tiada perjanjian bertulis yang jelas, isu kecil boleh bertukar menjadi pertikaian besar.

Ini kerana, masing-masing mempunyai pemahaman berbeza mengenai tanggungjawab kewangan.

5-Proses pusaka rumit

Jika salah seorang pemilik meninggal dunia, bahagian miliknya tidak serta-merta berpindah kepada adik beradik lain.

Sebaliknya, ia akan melalui proses pusaka yang membabitkan waris sah seperti pasangan, anak atau ibu bapa.

Proses ini boleh menjadi rumit dan mengambil masa yang panjang, terutamanya jika tiada wasiat.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top