Kanada buru permulaan sempurna di laman sendiri

Kanada buru permulaan sempurna di laman sendiri
Kanada buru permulaan sempurna di laman sendiri

Pemain Kanada menjalani latihan di Toronto menjelang aksi pembukaan Piala Dunia menentang Bosnia dan Herzegovina di laman sendiri. – Foto: Agensi

SKUAD Kanada bersedia mencipta sejarah apabila turun buat pertama kali dalam aksi Piala Dunia di laman sendiri menentang Bosnia-Herzegovina di Stadium Toronto, awal pagi Sabtu (3 pagi waktu Malaysia).

Perlawanan pembukaan Kumpulan B itu menjadi pentas penting buat Kanada untuk memulakan kempen dengan langkah kanan di hadapan penyokong sendiri.

“Piala Dunia di laman sendiri adalah pengalaman sekali seumur hidup. Kami tidak akan mensia-siakan peluang ini,” kata pertahanan Kanada, Luc de Fougerolles.

Bagaimanapun, Bosnia yang berada di ranking ke-65 dunia dijangka memberi tentangan sengit dengan gaya permainan fizikal, selain membawa keyakinan selepas mengejutkan Itali dalam aksi kelayakan.

“Saya percaya kami bermain pada tahap tinggi dan kami akan tunjukkan di Piala Dunia,” kata penyerang Kanada, Cyle Larin.

Kanada yang menghuni ranking ke-30 dunia dijangka bergantung kepada jentera serangan diketuai Jonathan David dan Larin, namun berdepan isu kecederaan beberapa tonggak utama.

Bintang utama, Alphonso Davies masih diragui dapat diturunkan akibat kecederaan hamstring, manakala pertahanan Moise Bombito turut dalam pemantauan, sekali gus membuka peluang kepada Fougerolles.

Ketua jurulatih Jesse Marsch turut berdepan kebimbangan apabila pemain tengah Ismael Kone tidak menjalani latihan akibat demam.

Di kem Bosnia, penyerang berpengalaman Edin Dzeko dijangka menjadi ancaman utama walaupun masih dibelenggu kecederaan bahu.

“Kami melihat Kanada sebagai pasukan agresif yang menekan tinggi dan banyak berlari,” kata pertahanan Bosnia, Nikola Katic.

Selepas ini, Kanada akan menetang Qatar dan Switzerland dalam baki perlawanan Kumpulan B.

Scroll to Top