Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan komitmen Kerajaan MADANI untuk memperkukuh tatakelola, integriti serta agenda reformasi institusi negara sebagai langkah membina Malaysia yang lebih adil, telus dan berdaya saing.
Perkara itu dinyatakan beliau ketika menerima kunjungan hormat Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Seri Abdul Halim Aman.
Anwar berkata, usaha memperkasa institusi pencegahan rasuah perlu diteruskan bagi memastikan keyakinan rakyat terhadap sistem pentadbiran negara terus dipelihara.
“Saya tekankan usaha memperkukuh tatakelola, integriti serta agenda reformasi institusi negara yang menjadi teras kepada pembinaan Malaysia yang lebih adil, telus dan berdaya saing,” katanya menerusi hantaran di Facebook pada Khamis.
Foto: FIRDAUS ROSLAN/Pejabat Perdana Menteri
Beliau berkata, integriti tidak seharusnya dilihat hanya sebagai tuntutan dalam perkhidmatan awam, sebaliknya menjadi asas utama dalam memastikan negara terus berkembang dengan kukuh.
“Integriti bukan sekadar tuntutan dalam perkhidmatan awam, tetapi asas penting bagi menjamin keyakinan rakyat, menarik pelaburan berkualiti serta menentukan masa depan negara yang lebih mampan,” ujarnya.
Foto: FIRDAUS ROSLAN/Pejabat Perdana Menteri
Menurut Anwar yang juga Menteri Kewangan, kerajaan akan terus memberi sokongan kepada SPRM untuk memainkan peranan sebagai sebuah institusi yang berwibawa dan dihormati dalam memerangi rasuah.
“Kerajaan MADANI akan terus memperkasakan SPRM sebagai institusi yang berwibawa dan dihormati dalam usaha membanteras rasuah tanpa kompromi demi memastikan kemakmuran negara dapat dinikmati oleh generasi masa kini dan akan datang,” katanya.
Sumber: Faceb0ok Anwar Ibrahim




