WASHINGTON – Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump membatalkan rancangan serangan lanjut terhadap Iran dan mendakwa perjanjian bagi menamatkan konflik antara kedua-dua pihak dijangka dimeterai dalam tempoh beberapa hari lagi.
Pengumuman itu mencetuskan reaksi positif pasaran kewangan global apabila pasaran saham melonjak, manakala harga minyak dunia susut lebih tiga peratus susulan harapan terhadap penyelesaian konflik yang berlarutan sejak Februari lalu.
Bagaimanapun, Teheran masih belum mengesahkan dakwaan tersebut.
Jurucakap Kementerian Luar Iran, Esmaeil Baqaei berkata, Republik Islam itu belum mencapai keputusan muktamad berhubung sebarang perjanjian.
Trump mendakwa, rundingan berkenaan telah dibawa ke peringkat tertinggi kepimpinan Iran dan memperoleh kelulusan.
“Saya telah membatalkan serangan dan pengeboman yang dijadualkan terhadap Iran pada malam ini,” katanya.
Beliau turut memaklumkan bahawa tarikh dan lokasi pemeteraian perjanjian berkenaan akan diumumkan dalam masa terdekat.
Menurut Trump, butiran akhir perjanjian itu telah dipersetujui oleh AS dan sekutu serantaunya, termasuk Israel yang bersama Washington melancarkan operasi ketenteraan terhadap Iran pada Februari lalu.
Namun, agensi berita Tasnim mengingatkan bahawa Trump telah mengumumkan perjanjian dengan Iran hampir dimeterai sebanyak 38 kali sepanjang dua bulan lalu.
“Sehingga Iran sendiri mengumumkan kewujudan persefahaman yang berpotensi dicapai, sebarang kenyataan Trump mengenai perkara ini perlu dilihat sama seperti kenyataan-kenyataannya sebelum ini,” menurut agensi itu.
Trump kemudian mengukuhkan dakwaannya apabila memberitahu pemberita bahawa beliau percaya pemimpin tertinggi Iran, Ayatollah Mojtaba Khamenei telah meluluskan perjanjian tersebut.
Pejabat Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu memaklumkan bahawa pemimpin itu telah mengadakan perbincangan dengan Trump, yang memberi jaminan bahawa sebarang memorandum persefahaman akan merangkumi pemindahan bahan nuklear diperkaya milik Teheran serta pelupusan infrastruktur peluru berpandu negara itu.
Terdahulu, Bank Dunia menyemak turun unjuran pertumbuhan ekonomi global ke paras terendah sejak pandemik Covid-19 susulan kebimbangan terhadap kesan ekonomi yang semakin meluas akibat konflik berkenaan.
Pasaran pulih, harga minyak merosot
Pasaran saham global mencatat peningkatan ketara manakala niaga hadapan minyak mentah jatuh lebih tiga peratus selepas pengumuman optimistik Trump.
Konflik itu tercetus pada 28 Februari apabila gelombang serangan AS-Israel ke atas Iran mengorbankan pemimpin tertinggi negara itu, Ayatollah Ali Khamenei sebelum gencatan senjata dicapai pada April.
Namun, usaha mencapai penyelesaian kekal dilihat masih menemui jalan buntu.
Datuk Bandar Teheran berkata, upacara pengebumian bekas pemimpin tertinggi itu dijangka ditangguhkan sehingga penghujung Jun atau awal Julai.
Kenyataan Trump turut memberi bayangan bahawa usaha diplomasi tidak rasmi yang digerakkan sekutu AS seperti Pakistan dan Qatar mungkin membuahkan hasil, meskipun beliau sebelum ini memberi amaran akan menyerang Iran dengan ‘amat keras pada malam ini’.
“Perbincangan dan butiran akhir telah dipersetujui, sama ada dari segi konsep mahupun secara terperinci, oleh semua pihak yang terlibat termasuk AS, Israel dan negara-negara Teluk,” katanya menerusi hantaran di media sosial.
Sehari sebelum itu, Trump mengumumkan bahawa tentera AS bukan sahaja akan memperhebatkan serangan udara, malah akan mengambil alih kemudahan eksport minyak Iran di Pulau Kharg di Teluk Parsi.
Walaupun kenyataan Trump mencetuskan harapan terhadap penyelesaian konflik, Kuwait melaporkan bahawa Iran telah melancarkan serangan ke wilayahnya sehingga merosakkan sistem radar lapangan terbang dan memaksa ruang udaranya ditutup.
Iran beri amaran
Ketika ancaman AS semakin memuncak, Jeneral Iran, Ali Abdollahi memberi amaran bahawa sekiranya Washington melancarkan serangan, negara itu akan bertindak balas dengan lebih keras.
“Ia bukan sahaja akan mewujudkan ketidakstabilan di rantau ini, malah api peperangan akan merebak dengan lebih meluas,” katanya.
Dalam masa sama, penduduk awam di Teheran yang berdepan kemungkinan berlakunya semula serangan udara kekal pesimis terhadap peluang perjanjian damai dimuktamadkan.
Majid, 35, seorang ahli farmasi berkata, kesan ekonomi akibat konflik itu semakin menjejaskan kehidupan harian rakyat.
“Saya langsung tidak optimis bahawa perjanjian ini akan dimuktamadkan kerana jurang antara kedua-dua negara terlalu besar,” katanya sambil menyalahkan Israel serta kelompok konservatif di Iran atas kegagalan mencapai kemajuan dalam rundingan.
Iran turut mengulangi amarannya berhubung Selat Hormuz, laluan strategik utama bagi perdagangan minyak dan gas dunia yang pada asasnya telah ditutup sejak awal perang sehingga menggugat pasaran tenaga global.
Badan baharu yang menyelia selat tersebut memaklumkan bahawa laluan itu ‘akan terus ditutup sehingga diberitahu kelak’. – AFP



