MARANG: Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang akan mengumumkan beberapa ‘perkara’ penting berhubung perkembangan politik ketika merasmikan Konvensyen Reset Malaysia di Tanah Merah, Kelantan, esok.
Ahli Parlimen Marang itu turut mengesahkan bahawa beliau mengadakan pertemuan dengan gerakan Reset diketuai Datuk Seri Hamzah Zainudin di Rusila di sini, semalam.
Katanya, selepas majlis di Tanah Merah, Pas akan mengadakan mesyuarat Rabu ini dan membuat beberapa keputusan mengenai hala tuju politik parti itu.
“Esok ada majlis di Tanah Merah, insya-Allah saya akan umumkan beberapa perkara. Rabu ada mesyuarat (Pas) Pusat di Kuala Lumpur, akan ada keputusan kita buat,” katanya selepas menyampaikan kuliah duha di Masjid Rusila, di sini hari ini.
Terdahulu, Jawatankuasa Kerja Pas dilapor bersetuju menamatkan kerjasama politik dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) selepas meneliti kedudukan dan hala tuju hubungan tersebut berdasarkan laporan, kajian dan penilaian semasa.
Pas akan meneroka suatu persefahaman politik dan kerjasama pilihan raya demi penyatuan ummah termasuk menerima hasrat tokoh-tokoh akademik, profesional, pemimpin politik dan aktivis masyarakat untuk menyertai parti itu.
Ditanya sama ada pasukan gerakan Reset akan ditarik menyertai Perikatan Nasional (PN) ekoran penamatan kerjasama Pas dengan Bersatu, Abdul Hadi berkata, ia sedang dinilai kerana mahu melibatkan seramai mungkim orang Melayu Islam dan bukan Islam yang tidak ekstrem di dalam gabungan berkenaan. – UTUSAN




