21,858 ahli baharu, bekas pemimpin sertai Rumah Bangsa

21,858 ahli baharu, bekas pemimpin sertai Rumah Bangsa
21,858 ahli baharu, bekas pemimpin sertai Rumah Bangsa

Asyraf Wajdi berkata, jumlah tersebut direkodkan sejak pendaftaran dalam talian dibuka secara rasmi pada 20 April sehingga Mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO pada Rabu lepas.

KUALA LUMPUR – Seramai 21,858 individu termasuk bekas pemimpin dan ahli parti menyertai atau kembali bersama UMNO menerusi inisiatif Rumah Bangsa setakat 10 Jun lepas.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, jumlah tersebut direkodkan sejak pendaftaran dalam talian dibuka secara rasmi pada 20 April sehingga Mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO pada Rabu lepas.

“Dalam tempoh tidak sampai dua bulan, pendaftaran ahli baharu dan kemasukan kembali bekas pimpinan dan ahli parti UMNO, termasuk pimpinan parti Bersatu seluruh Malaysia berjumlah 21,858.

“Moga Allah berkati dan rahmati Rumah Bangsa ini yang banyak jasanya dalam mencorakkan dan memartabatkan agama, bangsa serta tanah air sepanjang lapan dekad di persada perjuangan,” katanya dalam hantaran di Facebook pada Jumaat.

Rumah Bangsa merupakan inisiatif penyatuan semula UMNO yang diperkenalkan Presidennya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bagi menyatukan orang Melayu serta menerima semula bekas ahli menyertai parti itu.

Antara pemimpin yang kembali menyertai UMNO melalui inisiatif tersebut ialah bekas Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, bekas Ketua Pemuda, Khairy Jamaluddin dan bekas Menteri Luar, Tan Sri Dr Syed Hamid Albar. 

Turut kembali ialah bekas Pengerusi UMNO Kelantan, Datuk Seri Mustapa Mohamed dan bekas Pengerusi UMNO Selangor, Tan Sri Noh Omar.- Bernama

Scroll to Top