am@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang dijadualkan melancarkan Konvensyen RESET, gerakan baharu menghimpunkan bekas ahli dan pemimpin BERSATU, di Tanah Merah, Kelantan esok.
Ia sekali gus membuka spekulasi kemungkinan sebahagian besar ahli dan pemimpin bersama dalam Gerakan RESET, termasuk yang sebelum ini dipecat dan digantung BERSATU bakal menyertai PAS.
Ahli Parlimen Bachok, Syahir Sulaiman yang mengesahkan kehadiran Abdul Hadi turut menyifatkan esok sebagai hari yang menyaksikan dua peristiwa penting kepada parti Islam itu.
“TGHH (Abdul Hadi) menerima undangan DSHZ (Datuk Seri Hamzah Zainuddin) dan bersetuju untuk hadir merasmikan Konvensyen RESET di Kelantan.
“Ceramah perdana di Negeri Sembilan, DSTITM (Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man) akan menerima kemasukan lebih 10 tokoh terdiri profesional, korporat, pentadbiran) untuk menyertai PAS,” katanya menerusi Facebook beliau hari ini.
Selepas melalui beberapa halangan membina rumah baharu susulan pemecatan daripada BERSATU pada Februari lalu, impian Hamzah yang juga bekas Timbalan Presiden BERSATU, memimpin atau menyertai parti baharu dijangka dapat diketahui esok.
Bayangan mula diberikan Hamzah untuk bergerak melalui parti baharu selepas dipecat daripada BERSATU pada 13 Februari lalu.
Selain Hamzah, turut dipecat BERSATU sebelum ini Ahli Parlimen Tasik Gelugor, Wan Saiful Wan Jan; Datuk Saifuddin Abdullah (Indera Mahkota); Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal (Machang), Kapten Azahari Hasan (Padang Rengas) dan Fathul Huzir Ayob (Gerik).
Beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) juga dipecat termasuk ADUN Sungai Manik yang juga Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) BERSATU, Datuk Zainol Fadzi Paharudin dan ADUN Bemban, Dr Mohd Yadzil Yaakub.
Sebelum ini, bekas Ketua Pembangkang itu dilapor akan memimpin PKM namun pendaftaran parti berkenaan pernah ditolak Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) sebelum permohonan rayuan pendaftaran dibuat, Mac lalu.
Hamzah yang juga bekas Menteri Dalam Negeri, pernah memberi isyarat parti bakal disertainya sememangnya berada dalam Perikatan Nasional (PN).
Keadaan itu menimbulkan spekulasi beliau akan menyertai PAS, namun ia keras dinafikan pemimpin parti terbabit.
© New Straits Times Press (M) Bhd




