Abdul Hadi rasmi Konvensyen Reset esok, terima undangan Hamzah Zainuddin

Abdul Hadi rasmi Konvensyen Reset esok, terima undangan Hamzah Zainuddin
Abdul Hadi rasmi Konvensyen Reset esok, terima undangan Hamzah Zainuddin

Presiden Pas Tan Sri Abdul Hadi Awang akan merasmikan Konvensyen Reset Malaysia di Tanah Merah, Kelantan pada Sabtu ini.

SHAH ALAM – Presiden Pas Tan Sri Abdul Hadi Awang akan merasmikan Konvensyen Reset Malaysia di Tanah Merah, Kelantan pada Sabtu ini.

Perkara itu disahkan Ahli Parlimen Bachok yang juga Setiausaha Politik Abdul Hadi, Syahir Sulaiman menerusi hantaran di Facebook pada Jumaat.

“Insya-ALLAH Sabtu 13 Jun, bakal berlangsung dua peristiwa penting (iaitu) TGHH (Tok Guru Haji Hadi) menerima undangan Datuk Seri Hamzah Zainudin dan bersetuju untuk hadir merasmikan Konvensyen Reset di Kelantan.

“Ceramah perdana di Negeri Sembilan, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man (Timbalan Presiden Pas) akan menerima kemasukan lebih 10 tokoh (melibatkan golongan) profesional, korporat dan pentadbiran untuk menyertai Pas,” katanya.

Sebelum ini Sinar Harian melaporkan, Hamzah yang juga bekas Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dijangka membuat pengumuman penting berhubung masa depan politik beliau.

Dinamakan Konvensyen Reset Malaysia, acara tersebut bakal berlangsung di Tapak Ekspo Kota Harmoni, Tanah Merah, Kelantan pada jam 12.30 tengah hari.

Hamzah yang pernah menjadi Ketua Pembangkang melancarkan gerakan Reset pada 14 Februari lalu, sehari selepas dipecat Bersatu susulan pertikaian kepimpinan dengan Presiden, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

 

 

Scroll to Top