
Mangsa yang sedang dalam proses pemulihan bercakap kepada media dari katil hospitalnya. Foto: Handout
HAINAN – Seorang lelaki China berusia 39 tahun terselamat selepas terapung di laut selama tujuh hari dalam satu kejadian dramatik yang menyebabkan dia mengalami halusinasi dan dehidrasi teruk, sebelum ditemui nelayan dalam keadaan lemah berhampiran pelampung.
Mangsa, dikenali sebagai Qin, dilaporkan dihanyutkan arus kuat ketika berjalan di pantai di Haikou pada 27 Mei lalu sebelum terperangkap di laut terbuka tanpa peralatan keselamatan.
Menurut laporan, Qin kehilangan telefon bimbit dan terpaksa bertahan dengan bergantung pada pelampung yang ditemuinya sehari selepas kejadian.
Dalam tempoh tersebut, dia turut menanggalkan pakaian dan barang peribadi bagi mengurangkan beban ketika terapung di laut.
Pada hari ketiga, Qin menyedari dia berada di kawasan Selat Qiongzhou apabila melihat laluan feri, namun tidak berjaya dikesan oleh mana-mana pihak pada ketika itu.
Memasuki hari-hari berikutnya, dalam keadaan kelaparan melampau, mangsa dilaporkan memakan apa sahaja termasuk ketam mentah yang ditemuinya di kawasan terapung bagi meneruskan kelangsungan hidup.
Pada hari ketujuh, Qin akhirnya ditemui oleh dua nelayan di wilayah Chengmai sebelum dibawa ke darat dan diberi rawatan kecemasan.
Pemeriksaan mendapati dia mengalami dehidrasi serius serta jangkitan pada kulit akibat pendedahan lama kepada air laut dan panas matahari.
Pihak hospital memaklumkan keadaan Qin kini stabil selepas menerima rawatan intensif, namun mengesahkan sistem penghadamannya terjejas akibat pengambilan ketam mentah.
Insiden itu mendapat perhatian meluas di media sosial China, dengan ramai menyifatkan kisah Qin sebagai luar biasa dan menunjukkan ketahanan hidup yang tinggi. -Agensi



