hafizithnin@mediaprima.com.my
Kuala Lumpur: Keputusan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan Negeri Sembilan diadakan secara berasingan boleh ditafsirkan daripada perspektif SPR dan parti politik.
Pensyarah Kanan Sains Politik Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi Universiti Teknologi MARA (UiTM), Mujibu Abdul Muis, berkata daripada sudut SPR, pertimbangan utama biasanya bersifat pentadbiran dan logistik.
Katanya, ia membabitkan kesiapsiagaan daftar pemilih, pengurusan petugas pilihan raya, keselamatan, penggunaan pusat mengundi serta keperluan mematuhi proses perundangan selepas pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN).
“SPR juga lazimnya mengambil kira kapasiti operasi supaya perjalanan pilihan raya lebih tersusun dan tidak membebankan sumber secara serentak.
“Namun dari sudut parti politik pula, tarikh yang berasingan mempunyai pertimbangan strategik. Ada parti mungkin melihat kelebihan jika PRN diadakan berasingan kerana mereka boleh menumpukan jentera, kewangan dan kepimpinan kepada satu negeri terlebih dahulu sebelum beralih ke negeri lain,” katanya kepada Harian Metro di sini, hari ini.
Terdahulu, Pengerusi SPR, Datuk Seri Ramlan Harun, berkata bagi PRN Johor, hari penamaan calon ditetapkan pada 27 Jun ini, manakala hari mengundi awal pada 7 Julai dan hari mengundi pada 11 Julai.
Bagi PRN Negeri Sembilan pula, hari penamaan calon ditetapkan pada 18 Julai, manakala hari mengundi awal pada 28 Julai dan hari mengundi pada 1 Ogos.
Mujibu berkata, parti juga boleh menggunakan keputusan negeri terdahulu sebagai penanda aras momentum politik atau menyesuaikan strategi kempen berdasarkan reaksi pengundi.
Mengulas lanjut, Mujibu berkata,
pilihan raya serentak boleh menjimatkan kos dan mengurangkan keletihan politik pengundi jelas mewajarkan SPR untuk berbuat sedemikian.
“Namun dari sudut praktikal, pembubaran DUN berlaku di bawah kuasa negeri masing-masing dan tidak semestinya selari dari segi masa.
“Dari sudut politik pula, ada pihak mungkin melihat manfaat jika pilihan raya diasingkan untuk mengelakkan isu nasional terlalu mendominasi atau untuk memaksimumkan kelebihan taktikal tertentu. Justeru ia boleh dilihat sebagai strategi untuk memanfaatkan momentum semasa, mengehadkan masa persediaan lawan atau mengawal naratif politik,” katanya.
Katanya, keputusan PRN Johor juga berpotensi memberi kesan kepada PRN Negeri Sembilan daripada aspek pengundi dan parti politik yang bertanding.
“Dari aspek pengundian, keputusan PRN Johor boleh mencipta kesan psikologi politik. Jika satu blok mencatat kemenangan meyakinkan, ia boleh membentuk persepsi bahawa blok tersebut sedang mempunyai momentum nasional, sekali gus mempengaruhi sebahagian pengundi atas pagar di Negeri Sembilan.
“Sebaliknya, jika prestasi sesuatu gabungan merosot di Johor, ia boleh menjejaskan keyakinan pengundi terhadap kemampuan gabungan itu di Negeri Sembilan. Namun, kesannya tidak automatik kerana faktor tempatan, calon dan isu negeri masih memainkan peranan penting,” katanya.
Menurutnya, dari aspek parti politik pula, keputusan Johor boleh mempengaruhi strategi kempen, rundingan kerusi dan moral jentera parti di Negeri Sembilan.
“Kemenangan di Johor boleh meningkatkan keyakinan, memperkukuh naratif kempen serta menarik sokongan pengundi atas pagar.
“Sebaliknya, keputusan yang lemah mungkin memaksa parti menukar strategi, menyusun semula mesej kempen atau mempercepat rundingan politik bagi mengelakkan kesan limpahan negatif,” katanya.
Mengulas sama ada kedua-dua PRN berkenaan boleh dianggap sebagai referendum terhadap kerajaan Persekutuan, Mujibu berkata, ia boleh dianggap sebagai referendum separa, namun bukan secara mutlak.
Katanya, jika kempen banyak tertumpu kepada isu nasional seperti kos sara hidup, ekonomi, subsidi, kestabilan politik atau prestasi Perdana Menteri, pengundi cenderung menggunakan PRN sebagai medium menilai dan menghantar mesej kepada kerajaan pusat sama ada dalam bentuk sokongan atau protes.
“Dari sudut pengundian, sentimen semasa rakyat sangat penting.
Jika persepsi terhadap ekonomi atau dasar kerajaan negatif, pola undi boleh menjadi undi menghukum.
“Sebaliknya, persepsi positif terhadap kestabilan dan pemulihan ekonomi boleh membantu kerajaan.Dari sudut parti politik, kerajaan pasti membingkai kemenangan sebagai tanda penerimaan rakyat terhadap dasar semasa, manakala pembangkang akan menjadikannya ukuran tahap kepuasan rakyat terhadap kerajaan Persekutuan,” katanya.
Tambahnya, Johor dan Negeri Sembilan tetap mempunyai faktor tempatan yang kuat seperti calon, prestasi kerajaan negeri dan isu tempatan.
“Justeru, lebih tepat melihat dua PRN ini sebagai barometer mood rakyat terhadap kerajaan Persekutuan, bukannya referendum penuh atau gambaran mutlak keputusan PRU akan datang,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




