kartika@mediaprima.com.my
Kuala Lumpur: Ringgit dijangka bergerak dalam julat sekitar RM3.80 hingga RM3.90 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) sekiranya Rizab Persekutuan (Fed) AS menurunkan kadar faedah pada tahun ini.
Ketua Analisis Rakuten Trade Research, Kenny Yee Shen Pin berkata, dari segi mata wang, kadar faedah dan keadaan tunai, keadaan dilihat tidak begitu memberangsangkan.
Katanya, nisbah tertentu juga berada pada tahap yang lebih tinggi berbanding dolar AS, menunjukkan terdapat tekanan dalam sistem kewangan.
“Pergerakan kadar faedah pula banyak dipengaruhi oleh dasar AS, dan keadaan ini menimbulkan risiko lebih tinggi kepada pasaran.
“Selain itu, keyakinan terhadap AS dilihat sedikit berkurang yang mana ia turut memberi kesan kepada pasaran bon dan aliran modal global,” katanya pada taklimat media secara maya Rakuten mengenai unjuran pasaran suku ketiga di sini, hari ini.
Pada masa ini, ringgit didagangkan sekitar RM4.06 berbanding dolar AS.
Sementara itu, beliau berkata, ketidaktentuan berhubung perjanjian antara AS dan Iran terus memberi kesan kepada pergerakan harga komoditi global, termasuk emas.
“Perkembangan ini turut dipengaruhi oleh keadaan pasaran buruh di AS yang lebih panas daripada jangkaan.
“Situasi ini meningkatkan jangkaan bahawa Fed AS akan menaikkan kadar faedah, sekali gus menyokong pengukuhan dolar AS berbanding mata wang dan komoditi lain,” katanya.
Selain itu, beliau berkata pengukuhan dolar biasanya memberi tekanan kepada harga komoditi termasuk emas dan untuk emas, walaupun terdapat penurunan, sebenarnya terdapat peningkatan dalam prestasi pasaran emas baru-baru ini.
Mengulas mengenai pasaran tempatan, beliau berkata, Rakuten menyemak semula sasaran FTSE Bursa Malaysia KLCI tahun ini kepada 1,770 mata lebih rendah berbanding 1,800 mata sebelum ini memandangkan ketidaktentuan yang masih membayangi pasaran.
“Bagi pasaran saham tempatan, gelombang politik baru-baru ini mungkin akan menambah ketidaktentuan pasaran seperti yang ditunjukkan oleh aliran keluar bersih dana asing pada bulan Mei.
“Ia secara kebetulan selepas kedua-dua Rafizi Ramli dan Nik Nazmi Nik Ahmad meletakkan jawatan daripada Parti Keadilan Rakyat untuk menyertai Bersama.
“Tumpuan juga akan diberikan kepada pilihan raya negeri yang bakal berlangsung di Johor dan Negeri Sembilan dalam tempoh satu hingga dua bulan akan datang,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




