PETALING JAYA: Malaysia menghargai keyakinan syarikat telekomunikasi Ericsson terhadap kemajuan negara dalam membangunkan infrastruktur digital yang kukuh, termasuk rangkaian 5G, pusat data serta usaha memperteguh keselamatan dan kedaulatan digital.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, perkara itu antara yang dibincangkan dalam pertemuan beliau bersama delegasi Ericsson diketuai Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Börje Ekholm.
Menurut beliau, pertemuan itu turut memberi ruang untuk membincangkan perkembangan teknologi digital, peluasan penggunaan 5G serta potensi kerjasama yang lebih erat bagi memperkukuh ekonomi digital negara.
“Turut dibincangkan keperluan membangunkan rangkaian telekomunikasi yang lebih hijau dan mampan, selari dengan aspirasi Pelepasan Sifar Bersih negara.
“Pada masa sama, lebih banyak syarikat perlu memanfaatkan teknologi 5G bagi meningkatkan produktiviti, inovasi dan daya saing,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Anwar berkata, beliau turut menyambut baik komitmen Ericsson dalam membangunkan bakat tempatan menerusi program latihan, pemindahan teknologi serta kerjasama dengan universiti dan institusi pendidikan tempatan.
Katanya, usaha itu penting bagi melahirkan tenaga mahir yang bersedia mendepani tuntutan ekonomi masa hadapan.
“Saya yakin kerjasama ini akan terus diperkukuh berasaskan kestabilan serta kepercayaan, sekali gus membuka lebih banyak peluang untuk memacu pertumbuhan ekonomi digital serta kemakmuran negara,” katanya. – UTUSAN




