Sektor borong dan runcit tumbuh 15.3 peratus, rekodkan jualan RM174.8 bilion

Sektor borong dan runcit tumbuh 15.3 peratus, rekodkan jualan RM174.8 bilion

hafizithnin@mediaprima.com.my

Kuala Lumpur: Sektor perdagangan borong dan runcit Malaysia merekodkan jualan sebanyak RM174.8 bilion pada April tahun ini, meningkat 15.3 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu.

Ketua Perangkawan Malaysia Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, peningkatan itu disokong pertumbuhan positif merentasi semua subsektor.

Katanya, subsektor perdagangan borong merekodkan jualan RM83.5 bilion, meningkat RM16.2 bilion atau 24.1 peratus berbanding April 2025, manakala pertumbuhan volum dicatatkan sebanyak 7.3 peratus.

“Perdagangan runcit pula merekodkan jualan RM71 bilion, meningkat RM4.2 bilion tahun ke tahun dengan pertumbuhan sebanyak 6.3 peratus.

“Subsektor kenderaan bermotor mencatatkan jualan RM20.4 bilion, meningkat RM2.7 bilion atau 15.5 peratus berbanding April tahun lalu,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Beliau berkata, pertumbuhan dalam subsektor perdagangan borong dipacu kumpulan lain-lain pengkhususan jualan borong yang merekodkan peningkatan jualan sebanyak RM12.8 bilion kepada RM37.4 bilion dengan pertumbuhan 52 peratus.

“Peningkatan nilai jualan turut disumbangkan harga produk petroleum yang lebih tinggi, khususnya petrol, diesel dan pelincir susulan kenaikan harga minyak mentah global. Selain itu, jualan lebih tinggi turut direkodkan bagi bahan binaan, perkakasan, peralatan paip serta peralatan dan bekalan pemanas.

“Jualan borong barangan isi rumah berkembang 8.2 peratus kepada RM15.4 bilion, disokong pertumbuhan berterusan bagi barangan farmaseutikal dan perubatan, barangan elektrik dan elektronik serta pewangi dan kosmetik,” katanya.

Mohd Uzir berkata, jualan borong makanan, minuman dan tembakau meningkat 6.9 peratus, dipacu jualan lebih tinggi bagi beras, bijirin lain, tepung dan gula, produk tenusu, ikan serta lain-lain makanan laut dan daging, unggas dan telur

“Jualan borong bahan mentah pertanian dan haiwan hidup pula meningkat 11.7 peratus kepada RM6.8 bilion, didorong permintaan lebih kukuh terhadap minyak sawit dan getah.

“Subsektor perdagangan runcit terus menunjukkan prestasi kukuh pada April, dipacu jualan runcit di kedai bukan pengkhususan yang meningkat 6.1 peratus kepada RM27.3 bilion,” katanya.

Katanya, jualan runcit di kedai pengkhususan turut meningkat 6.8 peratus kepada RM15 bilion, didorong permintaan lebih tinggi bagi pakaian, minyak wangi dan kosmetik serta ikan akuarium, haiwan peliharaan dan makanannya.

“Jualan runcit bahan api kenderaan meningkat 12.5 peratus dengan pertumbuhan volum sebanyak 5.8 peratus, manakala jualan runcit peralatan isi rumah berkembang 3.5 peratus disokong bahan binaan, perkakasan, cat dan kaca serta perkakasan dapur dan kutleri.

“Pertumbuhan subsektor kenderaan bermotor disokong prestasi jualan kenderaan bermotor yang meningkat 18.1 peratus kepada RM10.3 bilion,” katanya.

Katanya, prestasi itu selari dengan data Persatuan Automotif Malaysia (MAA) yang melaporkan jualan sebanyak 72,113 unit, manakala Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) merekodkan 77,869 pendaftaran kenderaan bagi tempoh sama.

Dalam perkembangan sama, jualan runcit dalam talian meningkat 7.1 peratus tahun ke tahun berbanding 6.4 peratus pada bulan sebelumnya, menunjukkan pengukuhan berterusan segmen e-dagang.

“Aktiviti pembayaran digital turut terus mengukuh pada April apabila transaksi kad kredit meningkat 6.3 peratus dan kad debit naik 1.3 peratus tahun ke tahun.

“Platform Real-time Retail Payments Platform (RPP) mengekalkan prestasi kukuh dengan jumlah transaksi RM360.7 bilion, meningkat 29.9 peratus, manakala transaksi FPX meningkat 22.9 peratus kepada RM43.7 bilion,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top