El Nino, permintaan biobahan api lonjak harga sawit? FELCRA perkukuh pengurusan ladang!

El Nino, permintaan biobahan api lonjak harga sawit? FELCRA perkukuh pengurusan ladang!

Industri sawit negara berdepan cabaran dan peluang dalam landskap ekonomi global yang sentiasa berubah, termasuk risiko cuaca El Nino yang dijangka memberi kesan kepada pengeluaran komoditi pertanian.

FELCRA Berhad menegaskan keadaan itu memerlukan tumpuan berterusan terhadap pengurusan ladang yang cekap, pemantauan cuaca serta langkah mitigasi bagi memastikan produktiviti dan kesejahteraan peserta terus terpelihara.

“Fenomena El Nino yang dijangka berlaku berpotensi memberi kesan kepada pengeluaran komoditi pertanian, termasuk sawit,” katanya.

Dalam masa sama, harga minyak sawit mentah (MSM) dijangka diniagakan tinggi pada separuh kedua 2026, disokong kemungkinan El Nino yang kuat serta peningkatan harga minyak soya dan biji sesawi susulan lonjakan permintaan terhadap biobahan api, kata CGS International Securities Malaysia Sdn Bhd.

Firma pembrokeran itu berkata, data daripada Pentadbiran Lautan dan Atmosfera Kebangsaan Amerika Syarikat (NOAA) menunjukkan kebarangkalian 80 hingga 90 peratus berlakunya El Niño antara Jun 2026 hingga Februari 2027, yang memberi kesan kepada sentimen harga MSM.

“Berdasarkan trend, hasil tandan buah segar (BTS) Malaysia lazimnya merosot antara 13 hingga 16 peratus tahun ke tahun ketika El Niño yang kuat, manakala harga MSM meningkat antara 22 hingga 23 peratus tahun ke tahun,” katanya.

CGS International menjangkakan inventori minyak sawit Malaysia akan terus menyusut pada Jun 2026 berbanding bulan sebelumnya, dipacu ketersediaan eksport dari Indonesia yang lebih terhad serta peningkatan penggunaan domestik di bawah program biodiesel B12.

“Selain itu, peningkatan penggunaan domestik di bawah program biodiesel B12 juga dijangka terus menyumbang kepada pengurangan inventori,” katanya.

Firma itu mengekalkan saranan ‘wajaran tinggi’ terhadap sektor perladangan, dengan pengeluar Malaysia dijangka mendapat manfaat lebih besar berbanding Indonesia susulan kekuatan eksport dan ketidaktentuan dasar.

Sementara itu, Hong Leong Investment Bank Bhd mengekalkan unjuran harga MSM 2026 pada RM4,350 satu tan, dengan jangkaan harga kekal tinggi sekitar RM4,500 hingga RM4,600 pada suku kedua sebelum menyederhana selepas itu.

“Unjuran harga MSM jangka panjang kami juga tidak berubah pada RM4,200 satu tan metrik mulai 2027,”ujarnya.

Bank pelaburan itu turut mengekalkan pandangan ‘wajaran tinggi’ terhadap sektor berkenaan sementara menunggu penilaian semula dalam prospek separuh kedua 2026 yang akan diterbitkan kelak.

Katanya, meskipun harga minyak mentah yang tinggi dijangka terus menyokong harga MSM dalam tempoh terdekat, ia berpandangan kitaran kenaikan semasa mungkin berlaku lebih awal, dengan risiko jangka sederhana berpunca daripada pelarasan bekalan minyak sayuran pesaing.

Sumber: FB Felcra Berhad

Scroll to Top