Mahasiswa Indonesia adakan demonstrasi bantah ketidakcekapan pemerintahan Prabowo

Mahasiswa Indonesia adakan demonstrasi bantah ketidakcekapan pemerintahan Prabowo

JAKARTA – Ribuan pelajar universiti berhimpun di Jakarta pada Jumaat bagi membantah keutamaan perbelanjaan kerajaan Presiden Prabowo Subianto, termasuk keputusan menaikkan harga petrol yang diumumkan minggu ini.

Demonstrasi yang menggunakan slogan ‘Menuju Indonesia Muflis’ itu menyaksikan para pelajar berarak menuju mercu tanda ikonik ibu kota, Bundaran HI, bagi menyuarakan rasa tidak puas hati terhadap dasar pentadbiran semasa.

Penganjur mendakwa sebahagian peserta dihalang daripada memasuki lokasi perhimpunan oleh anggota polis dan tentera.

Kerajaan sebelum ini mengekalkan harga petrol di negara itu meskipun harga minyak dunia meningkat susulan perang Iran.

Namun, tekanan terhadap kedudukan fiskal negara yang dibebani pelbagai program perbelanjaan besar kerajaan menyebabkan harga petrol dinaikkan secara ketara awal minggu ini.

Penunjuk perasaan membawa pelbagai sepanduk dengan slogan seperti ‘Batalkan Kenaikan Harga Petrol’ dan ‘Tembok Malu’ yang menyenaraikan kritikan terhadap anggota Kabinet Prabowo.

Pemimpin pelajar dari Universiti Indonesia, Yatalathof Ma’shum Imawan berkata, demonstrasi itu mengemukakan lima tuntutan utama kepada kerajaan.

Antaranya ialah menghentikan program makanan percuma dan Koperasi Desa Merah Putih, menurunkan harga bahan api serta barangan keperluan asas, selain menghentikan apa yang disifatkan sebagai pembaziran perbelanjaan negara.

“Pembaziran menerusi program makanan percuma telah menyebabkan keadaan fiskal semakin tertekan sehingga subsidi yang sebelum ini dinikmati rakyat ditarik balik,” kata seorang peserta protes, Rafael Arreva, ketika berucap di hadapan sekatan polis.

Pelajar dan aktivis turut menyuarakan kebimbangan terhadap peluasan peranan tentera dalam urusan awam di bawah pentadbiran Prabowo.

Mereka berpendapat perkembangan itu boleh mengheret Indonesia kembali ke era pemerintahan autoritarian bekas Presiden Suharto.

“Kami mahu menunjukkan bahawa keadaan sekarang tidak baik-baik sahaja.

“Kami tidak mahu Indonesia benar-benar muflis, tetapi tindakan seperti ini membuktikan negara sedang menuju ke arah kemuflisan dari segi ekonomi, demokrasi dan moral,” kata Yatalathof.

Saksi Reuters melaporkan ratusan pelajar dihalang oleh anggota polis dan tentera ketika menghampiri lokasi demonstrasi.

Keadaan menjadi tegang apabila sebahagian peserta cuba melepasi barisan anggota keselamatan serta penghadang besi yang dipasang.

Setakat ini, Polis Jakarta belum memberikan sebarang maklum balas terhadap pertanyaan Reuters mengenai dakwaan sekatan terhadap peserta protes.

Program makanan percuma yang menjadi antara agenda utama Prabowo menyasarkan kira-kira 83 juta kanak-kanak dan wanita hamil.

Bagaimanapun, pengkritik menyifatkan program itu sebagai tidak cekap, terdedah kepada ketirisan kewangan berskala besar dan dilihat sebagai usaha meraih sokongan politik, khususnya di kawasan pedalaman.

Selain itu, ribuan kanak-kanak dilaporkan mengalami keracunan makanan selepas menikmati hidangan di bawah program tersebut, sekali gus mencetuskan persoalan mengenai aspek tadbir urus dan pemantauan pelaksanaannya. – Agensi

Scroll to Top