Ronaldo yakin Portugal mampu capai sasaran di Piala Dunia

Ronaldo yakin Portugal mampu capai sasaran di Piala Dunia

Lisbon: Kapten Portugal, Cristiano Ronaldo berkata, beliau berasa sangat positif ketika pasukan Portugal berlepas dari Lisbon menuju ke kem latihan Piala Dunia di Palm Beach, Florida, hari ini.

Pemenang lima kali anugerah Ballon d’Or itu berkata Portugal hadir ke kejohanan dengan penuh keyakinan dan harapan tinggi.

“Kami mendekati kejohanan ini dengan penuh harapan. Persiapan berjalan sangat baik, walaupun memenatkan kerana kami bekerja keras,” kata Ronaldo.

Penyerang veteran dan kapten Portugal itu turut menegaskan keadaan fizikalnya berada pada tahap baik menjelang kejohanan.

“Saya berada dalam keadaan fizikal yang baik. Saya sangat positif, saya percaya semuanya akan berjalan lancar dan kami akan memberikan prestasi yang baik.”

Ronaldo turut memuji generasi pemain Portugal ketika ini dan percaya mereka mampu membawa kegembiraan kepada penyokong negara itu.

“Ini generasi yang sangat baik, yang akan membawa banyak kegembiraan kepada rakyat Portugal.

“Perkara paling penting ialah memulakan kejohanan dengan baik melalui perlawanan pertama, kemudian diikuti perlawanan kedua dan ketiga. Tamatkan saingan sebagai juara kumpulan dan selepas itu ambil satu perlawanan pada satu masa.”

Portugal akan membuka kempen Piala Dunia pada 17 Jun di Houston menentang DR Congo, sebelum berdepan Uzbekistan dan Colombia dalam aksi Kumpulan K.

Pada usia 41 tahun, Ronaldo bakal mencipta rekod dengan tampil dalam Piala Dunia keenam sepanjang kariernya.

Namun, terdapat juga pandangan daripada sesetengah pihak yang mempersoalkan sama ada kehadirannya boleh menghalang skuad bimbingan Roberto Martínez daripada mencapai potensi sebenar mereka.

Portugal sebelum ini mengharungi dua perlawanan persahabatan menentang Chile dan Nigeria dengan kedua-duanya dimenangi 2-1, namun Ronaldo gagal menemui jaringan.

Rekod terbaik Portugal di Piala Dunia ialah tempat ketiga pada Piala Dunia 1966 manakala mereka mara ke suku akhir empat tahun lalu di Piala Dunia 2022.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top