suharmin.yusuf@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Sebanyak 179 syarikat dinyahaktifkan daripada sistem Skim Penstabilan Harga Minyak Masak (eCOSS) oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) kerana melanggar syarat, dalam usaha membendung ketirisan subsidi minyak masak bersubsidi.
Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Dr Fuziah Salleh berkata, pihaknya terus memperkukuh pelaksanaan sistem eCOSS sebagai instrumen utama pemantauan pengedaran minyak masak peket bersubsidi bagi memastikan ia hanya dinikmati rakyat yang layak.
Menurutnya, KPDN akan memperketat penguatkuasaan bagi membanteras penyelewengan subsidi termasuk dakwaan penggunaan MyKad oleh warga asing untuk membeli minyak masak bersubsidi seperti tular di media sosial.
“Sejak eCOSS diperkenalkan, sebanyak 179 syarikat dinyahaktifkan daripada sistem selepas didapati melanggar syarat dan peraturan ditetapkan.
“Antara kesalahan yang dikenal pasti termasuk tidak mematuhi had kuantiti penyimpanan dibenarkan, membuat jualan melebihi had ditetapkan, menjual minyak masak bersubsidi kepada bukan warganegara, beroperasi menggunakan lesen tamat tempoh serta mempunyai nisbah belian dan jualan meragukan.
“KPDN turut menerima pelbagai aduan, maklum balas dan cadangan berkaitan sistem berkenaan sejak diperkenalkan,” katanya dalam kenyataan, malam ini.
Mengulas lanjut, Fuziah berkata, pihaknya merekodkan 13,354 aduan pada tahun 2024, diikuti 5,320 aduan pada tahun 2025 selepas aplikasi mudah alih eCOSS diperkenalkan.
Katanya, sepanjang tahun ini, sebanyak 9,050 aduan dan maklum balas direkodkan, seiring peningkatan jumlah pengguna yang kini melebihi 5.01 juta orang.
“Peningkatan jumlah aduan itu mencerminkan pertambahan penggunaan sistem oleh rakyat serta kesediaan pengguna untuk menyalurkan maklum balas bagi tujuan penambahbaikan.
“Setiap aduan, cadangan dan pandangan yang diterima akan diteliti dan diambil tindakan sewajarnya bagi memastikan sistem eCOSS terus mesra pengguna dan berfungsi dengan lebih berkesan,” katanya.
Beliau berkata, hasil penguatkuasaan oleh Bahagian Penguat Kuasa KPDN, sebanyak enam kes direkodkan di bawah Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan (Larangan Penjualan dan Pembelian Barang Kawalan) (Minyak Masak) 2026.
Menurutnya, daripada jumlah itu, tiga kes membabitkan penjualan minyak masak peket bersubsidi kepada bukan warganegara dengan nilai rampasan sebanyak RM65.
“Manakala tiga lagi kes membabitkan pembelian minyak masak peket bersubsidi oleh bukan warganegara dengan nilai rampasan RM15,180 serta jumlah denda sebanyak RM7,000.
“Bagi mengelakkan penyalahgunaan identiti, aplikasi eCOSS dilengkapi beberapa lapisan keselamatan termasuk penggunaan teknologi electronic Know Your Customer (eKYC) yang memerlukan pengguna melakukan padanan swafoto dengan dokumen pengenalan diri semasa pendaftaran.
“Selain itu, aplikasi berkenaan turut diintegrasikan dengan MyDigital ID serta disemak silang dengan pangkalan data Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) bagi memastikan ketulenan dan ketepatan identiti pengguna,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata, KPDN berpandangan peningkatan jumlah pengguna dan transaksi digital menunjukkan pengagihan subsidi semakin tepat kepada kumpulan sasar, sekali gus mengurangkan risiko ketirisan.
“Orang ramai yang mengesyaki berlaku penyalahgunaan identiti atau transaksi mencurigakan disaran membuat laporan segera kepada KPDN melalui Portal eAduan di https://eaduan.kpdn.gov.my untuk tindakan lanjut dan aduan mengenai aplikasi Mobile eCOSS boleh dibuat melalui support_ecoss@kpdn.gov.my,” katanya.
Untuk rekod, lebih 5 juta rakyat Malaysia kini menggunakan aplikasi mudah alih eCOSS bagi pembelian minyak masak bersubsidi satu kilogram, dengan sebanyak 91 juta peket direkodkan terjual sejak sistem itu dilaksanakan 1 Mei tahun lalu.
© New Straits Times Press (M) Bhd




