Sukan sambil bercuti, Sabah kini hab ekstrem wajib teroka

Sukan sambil bercuti, Sabah kini hab ekstrem wajib teroka

Trend percutian kini tidak lagi terhad kepada aktiviti santai di tepian pantai semata-mata, malah corak tersebut dilihat kian beralih arah.

Landskap pelancongan memperlihatkan peningkatan ketara dalam kalangan penggemar aktiviti ekstrem yang sanggup menjelajah jauh demi mencabar kekuatan fizikal serta ketahanan mental mereka sambil diiringi keindahan alam semula jadi.

Kini, Sabah tampil mengukuhkan kedudukannya sebagai hab pelancongan sukan yang paling variasi di Malaysia.

Bermula daripada renangan di lautan terbuka hingga ke larian denai merentasi hutan hujan serta cabaran maraton bandar dan pendakian gunung, kalendar acara di negeri ini sentiasa diwarnai dengan pelbagai pengembaraan fizikal sepanjang tahun.

Renangan laut terbuka


Oceanman Kota Kinabalu 2025. – FOTO Lembaga Pelancongan Sabah

Tirai kalendar pengembaraan fizikal dibuka menerusi penganjuran siri dunia Oceanman Kota Kinabalu yang bakal menggegarkan perairan Tuaran buat kali ketiga pada Julai ini.

Acara berprestij yang mendapat sokongan padu Lembaga Pelancongan Sabah (STB) ini menjadi tumpuan atlet renang dari seluruh dunia dengan menawarkan pelbagai kategori mengikut tahap kemampuan.

Ia merangkumi acara pecut jarak dekat, perlumbaan berganti-ganti serta cabaran ketahanan jarak jauh.

Bagi mereka yang mendambakan cabaran di lautan terbuka, daftar segera kerana tempoh pendaftaran rasmi bakal ditutup pada 16 Jun 2026.

Tiga acara ‘signature’ anjuran STB

Bagi peminat sukan lasak yang ingin merasai sendiri perlumbaan eksklusif anjuran STB dan Sri Pelancongan Sabah, tiga acara bertaraf flagshsip berikut menawarkan pengalaman larian epik merentasi landskap paling ikonik di Negeri Di Bawah Bayu.

1. Tropical Rainforest Run


Tropical Rainforest Run. – FOTO Sri Pelancongan Sabah

Kalendar pengembaraan fizikal bulan September dimulakan dengan penganjuran Tropical Rainforest Run yang dijadualkan berlangsung pada 6 September 2026 di Tawau.

Acara ini menjanjikan pengalaman kembara luar biasa buat peserta yang mendambakan kelainan dalam setiap langkah larian mereka.

Kejohanan ini membawa peminat sukan lasak menyelami keunikan ekosistem di Taman Bukit Tawau, sebuah khazanah alam yang dipelihara rapi di bawah naungan Sabah Parks.

Kembara sepanjang 28 kilometer ini bakal membawa peserta merentasi keindahan hutan hujan tropika yang menjadi habitat bagi salah satu spesies pokok tertinggi di dunia.

Selain itu, laluan ini turut menempatkan tiga gunung berapi tidak aktif iaitu Gunung Maria, Gunung Magdalena dan Gunung Lucia.

2. Timpohon Run


Timpohon Run. – FOTO Sri Pelancongan Sabah

Kundasang bakal menjadi pusat tumpuan komuniti sukan ekstrem antarabangsa menjelang bulan Oktober. Saingan dimulakan dengan Timpohon Run pada 17 Oktober 2026 di Taman Kinabalu.

Timpohon Run penting kerana ia berfungsi sebagai acara pengenalan sebelum berlangsungnya saingan kemuncak Climbathon pada hari berikutnya.

Perlumbaan sejauh kira-kira 9.8 kilometer ini membawa pelari menerokai keindahan landskap sebahagian daripada Kinabalu UNESCO Global Geopark.

Laluan ini bermula dari Pintu Gerbang Utama ke Pintu Gerbang Timpohon, seterusnya melalui Laluan Mempening sebelum berakhir di Dewan Kinabalu untuk memberikan gambaran awal cabaran sebenar.

3. Mount Kinabalu International Climbathon

 

Mount Kinabalu International Climbathon. – FOTO Sri Pelancongan Sabah

Debaran pengembaraan fizikal di Sabah memuncak pada 18 Oktober 2026 menerusi acara ikonik Mount Kinabalu International Climbathon di Taman Kinabalu, Kundasang.

Dikenali sebagai salah satu perlumbaan gunung paling sukar di dunia, acara ini sentiasa berjaya menarik penyertaan pelari elit serta atlet daya ketahanan antarabangsa.

Setiap peserta wajib melepasi had masa pelepasan ditetapkan sambil menempuh trek teknikal sejauh 24.5 kilometer merentasi trek ekstrem dengan lonjakan altitud melebihi 4,000 meter di kawasan warisan dunia Gunung Kinabalu.

Butiran lengkap serta pautan pendaftaran bagi ketiga-tiga acara mega di atas boleh diakses terus melalui portal rasmi Climbathon Malaysia.

Acara ketahanan komuniti

Selain tiga perlumbaan utama di atas, momentum sukan lasak di Sabah terus dihangatkan dengan barisan acara kelolaan komuniti setempat serta kejohanan antarabangsa di pelbagai daerah.

Ini termasuk Tawau Marathon di bawah kelolaan Tawau Runners yang dijadualkan berlangsung pada 23 Ogos 2026.

Acara ini menyajikan kepelbagaian kategori laluan yang dirangka khusus buat pelari rekreasi mahupun jaguh kompetitif, di mana pendaftaran masih dibuka sehingga 30 Jun 2026.

Rasai juga cabaran tahap ekstrem pada 29 hingga 30 Ogos 2026 melalui TMBT Ultra Trail Marathon.

Sering diangkat sebagai antara siri ultra-denai paling berprestij, kejohanan The Most Beautiful Thing (TMBT) kelolaan Borneo Ultra Trails Sdn Bhd ini cukup ikonik dengan laluannya yang mencabar.

Acara ini menguji fizikal peserta menelusuri banjaran tinggi, lembah curam serta deretan perkampungan tradisional di Taman Kinabalu.

Bagi melabuhkan tirai kalendar pengembaraan fizikal tahun ini, Kiulu Adventure Challenge bakal menggegarkan Lembah Kiulu pada 6 Disember 2026.

Acara anjuran Persatuan Pelancongan Kiulu dengan sokongan STB ini menawarkan dimensi kembara unik melalui gabungan larian denai serta eksplorasi alam yang menekankan elemen kelestarian pelancongan komuniti.

Biarpun dikelilingi kedamaian suasana luar bandar, cabaran ini tetap menguji tahap kecergasan dan daya ketahanan mental peserta dalam setiap langkah larian mereka.

Jom semak kalendar poket anda! Bagi mendapatkan perincian kalendar pengembaraan yang lengkap serta pautan pendaftaran acara lain di Sabah, layari portal rasmi Lembaga Pelancongan Sabah.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top