mahaizura@mediaprima.com.my
Hulu Langat: Bangunan Rumah Anak Yatim dan Anak Hidayah Madrasah At-Taqwa di sini masih berdiri kukuh dan terbiar sepi biarpun selepas sedekad setengah tragedi tanah runtuh yang mengorbankan 16 nyawa.
Tinjauan Harian Metro mendapati lokasi tragedi berkenaan kini dipenuhi semak-samun tinggi dengan keadaan bangunan yang semakin usang dan terbiar tanpa penghuni.
Suasana di kawasan itu juga sunyi dan suram, jauh berbeza berbanding keadaan suatu ketika dahulu yang dipenuhi keriuhan suara pelajar serta penghuni madrasah.
Beberapa struktur bangunan masih kelihatan teguh berdiri namun sebahagiannya dilihat sudah rosak dan dipenuhi tumbuhan liar selain dipercayai tidak lagi selamat untuk dimasuki.
Turut kelihatan di kawasan berkenaan papan tanda memaklumkan hartanah itu untuk dijual dengan dilengkapi nombor telefon dipercayai dipasang pemilik tanah terbabit.
Usaha penulis mendapatkan reaksi tenaga pengajar mahupun pemilik madrasah itu menemui kegagalan apabila tidak diberi ruang berikutan mereka enggan membuka ‘luka’ lama.
Difahamkan, penghuni madrasah itu kini berpindah ke lokasi baharu, kira-kira satu kilometer dari tempat kejadian.
Pada masa sama, selepas kejadian itu, Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) menubuhkan Unit Cerun di bawah Jabatan Kejuruteraan yang berfungsi memantau pembangunan di kawasan berbukit, cerun mahupun tanah tinggi.
Selain itu, pasukan petugas khas juga ditubuhkan untuk menjalankan inventori bagi kawasan pembangunan tanah tinggi di kawasan Hulu Langat.
Jadi pengajaran besar buat masyarakat
Faktor keselamatan terutama membabitkan akses jalan dan risiko bencana berulang diberi perhatian serius susulan tragedi tanah runtuh Rumah Anak Yatim dan Anak Hidayah Madrasah At-Taqwa di sini, lebih sedekad lalu.
Pengerusi Persatuan Penduduk Laman Gahal, Jalan FELCRA Semungkis, Abu Samah Ibrahim berkata, antara cabaran utama ketika tragedi itu adalah kesukaran operasi menyelamat berikutan keadaan jalan sempit dan tiada laluan keluar alternatif.
Katanya, keadaan itu menyebabkan pergerakan jentera dan pasukan penyelamat menjadi sukar ketika operasi dijalankan.
“Apabila berlaku kes tanah runtuh macam itu, perkara paling penting adalah operasi menyelamat, tetapi kawasan ini hanya ada satu jalan sempit dan tiada jalan keluar lain. Jadi, bomba dan jentera penyelamat memang sukar memasuki kawasan tragedi.
“Keadaan bertambah sukar apabila jalan dipenuhi penduduk kampung yang turun membantu, jadi kawalan agak sukar,” katanya di lokasi kejadian.
Menurutnya, operasi menyelamat ketika itu berlangsung sehingga awal pagi dengan jenazah terakhir dikeluarkan menjelang Subuh.
“Jenazah terakhir dikeluarkan waktu azan Subuh. Tragedi itu memberi pengajaran berguna untuk keperluan menambahbaik infrastruktur terutama laluan kecemasan di kawasan berisiko bencana,” katanya.
Menurutnya, penduduk berharap pelebaran jalan atau pembinaan laluan alternatif dapat dipertimbangkan walaupun kawasan berkenaan dikelilingi hutan simpan.
“Kawasan ini memang sering berdepan bencana seperti tanah runtuh, pokok tumbang dan banjir.
“Sebab itu aspek landskap jalan dan akses operasi menyelamat perlu diambil kira sebelum berlaku tragedi lebih buruk. Kita berharap tragedi ini menjadi iktibar dan bagi memastikan kelemahan ini tidak berulang maka tindakan pihak berwajib haruslah secara kolektif menanganinya secara tuntas,” katanya.
Menurutnya, tragedi itu turut mencetuskan kesedaran penduduk untuk bergerak lebih tersusun apabila berdepan kecemasan termasuk menubuhkan persatuan penduduk serta unit pemantauan bencana.
Katanya, faktor keselamatan kini menjadi keutamaan komuniti setempat berikutan beberapa kawasan kampung berkenaan masih berisiko mengalami tanah runtuh dan banjir lumpur.
“Kami utamakan soal keselamatan sebab kawasan ini masih berisiko.
“Malah, kami juga ada menubuhkan unit bencana yang sentiasa memantau keadaan terutama ketika musim hujan dan melaporkan kepada pihak berwajib,” katanya.
Abu Samah berkata, penduduk juga bimbang dengan aktiviti pembangunan dan pembukaan tanah di kawasan berbukit yang dikhuatiri boleh meningkatkan risiko bencana.
Katanya, pemantauan lebih ketat perlu dilakukan bagi memastikan aktiviti pemotongan bukit atau menggondol tanah tidak menjejaskan keselamatan penduduk.
© New Straits Times Press (M) Bhd




