
Hambar… Papan iklan yang memaparkan pemain pasukan kebangsaan AS dipasang berhampiran Stadium New York New Jersey (nama sementara bagi Stadium MetLife) menjelang Piala Dunia FIFA 2026 di East Rutherford, New Jersey. Foto Agensi
KETIKA dunia bola sepak bersiap membuka tirai Piala Dunia, suasana di Amerika Syarikat (AS) memperlihatkan gambaran berbeza apabila perhatian peminat sukan di negara itu masih tertumpu kepada NBA Finals, sekali gus menenggelamkan keterujaan terhadap kejohanan terbesar bola sepak dunia.
Di New York, sorakan besar-besaran bukan untuk Piala Dunia, sebaliknya untuk New York Knicks yang mencipta kebangkitan dramatik dalam NBA Finals menentang San Antonio Spurs sehingga mencetuskan sambutan luar biasa di jalanan Manhattan.
Fenomena itu menjadi cabaran yang dihadapi Piala Dunia di AS, meskipun negara itu menjadi tuan rumah bersama kejohanan berprestij berkenaan.
Bola sepak atau “soccer” masih belum berada pada tahap populariti sama seperti bola keranjang dan American football, dengan satu tinjauan menunjukkan kira-kira separuh rakyat Amerika mengakui mereka tidak terlalu mengambil berat tentang kejohanan itu.
Di bandar raya utama seperti New York, tanda-tanda Piala Dunia tetap wujud… daripada tren bawah tanah bertema pasukan kebangsaan, paparan Lionel Messi di Times Square, hingga peminat yang mula memakai jersi negara seperti Brazil dan Maghribi.
Namun bagi ramai penduduk tempatan, tumpuan masih tidak berganjak daripada NBA.
“Secara jujur, saya hanya fokus kepada Knicks,” kata seorang peminat, manakala yang lain mengakui mereka hampir tidak mengikuti perkembangan Piala Dunia.
Di Los Angeles, situasi hampir sama apabila kempen promosi Piala Dunia berjalan aktif, namun masih belum cukup untuk mencetuskan keterujaan besar dalam kalangan penduduk tempatan.
Seorang pemandu teksi malah terkejut apabila dimaklumkan kejohanan itu akan berlangsung tidak lama lagi, dengan bertanya: “Ada Piala Dunia? Siapa bermain?”
Di Boston pula, penyokong Scotland yang kembali ke Piala Dunia selepas 28 tahun turut melaporkan pengalaman sama apabila ada penduduk tempatan tidak sedar kejohanan itu sedang berlangsung.
Isu tiket mahal turut memburukkan keadaan, dengan harga mencecah lebih $1,000 untuk beberapa perlawanan, menyebabkan ramai peminat keluarga tersisih daripada stadium.
Walaupun begitu, penganjur berharap minat akan meningkat apabila saingan bermula, terutama jika pasukan tuan rumah AS melakar kejayaan lebih jauh, sesuatu yang pernah membantu melonjakkan populariti bola sepak selepas edisi 1994.



