Tiga calon heavyweight sukar digugat di Negeri Sembilan

Tiga calon heavyweight sukar digugat di Negeri Sembilan

SHAH ALAM – Di sebalik krisis adat dan perlembagaan yang belum menunjukkan tanda-tanda akan berakhir dalam tempoh terdekat, tumpuan kini juga mula terarah kepada kelompok pemimpin yang dilihat mempunyai pengaruh atau peluang besar untuk mempertahankan kerusi ditandingi sekiranya mengambil bahagian dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan kali ini.

Calon heavyweight atau tokoh politik yang berprofil tinggi sering menjadi taruhan utama bagi mana-mana parti bertanding sebagai strategi bagi mengekalkan kemenangan di kawasan ditandingi mereka.

Namun, selari dengan landskap politik negara yang sedang mengalami peralihan drastik iaitu beralih daripada kesetiaan tradisional terhadap parti kepada penilaian praktikal keupayaan pemimpin menyelesaikan masalah, pengaruh parti bukan lagi menjadi sandaran utama dalam menentukan keputusan pilihan raya kali ini.

Ia dibuktikan apabila BN gagal mempertahankan kemenangan yang ditakluk sejak sekian lama di Negeri Sembilan apabila kalah dalam PRN pada 2023 lalu, sehingga menyaksikan Pakatan Harapan (PH) mengambil alih kerajaan dan membentuk Kerajaan Perpaduan melibatkan kedua-dua parti gabungan berkenaan.

Melihat akan perkembangan itu, keupayaan untuk mana-calon bertanding akan diukur atas faktor kepimpinan individu dan kekuatan jenama politik peribadi dan ia dijangka memainkan peranan lebih dominan dalam pilihan raya kali ini.

Justeru atas faktor berkenaan, Timbalan Presiden UMNO merangkap bekas Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan; Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke dan Menteri Besar merangkap Naib Presiden PKR, Datuk Seri Aminuddin Harun antara calon heavyweight yang sukar digugat di Negeri Sembilan.

Pengarah Institut Kajian Politik Malaysia (MAPAN), Universiti Utara Malaysia, Profesor Madya Dr Mashitah Mohd Udin berkata, berdasarkan keputusan PRN 2023, Mohamad yang mempertahankan kerusi DUN Rantau muncul antara calon paling dominan apabila memperoleh majoriti 10,280 undi.

“Mohamad Hasan mempunyai kelebihan yang sukar ditandingi kerana Rantau merupakan kawasan yang telah lama menjadi kubu politik beliau.

“Selain faktor kedudukan dalam parti dan kerajaan, beliau juga dikenali sebagai pemimpin yang dekat dengan rakyat serta mempunyai rekod pentadbiran yang baik ketika menjadi Menteri Besar Negeri Sembilan,” katanya kepada Sinar Harian.

Menurut Mashitah, Anthony pula kekal sebagai antara pemimpin yang memiliki jenama politik tersendiri walaupun majoriti kemenangan beliau di DUN Chennah pada PRN 2023 tidak setinggi beberapa calon lain.

“Pengaruh Anthony tidak hanya terhad di kawasan DUN beliau, sebaliknya turut diperkukuhkan oleh kedudukan dan peranan beliau di peringkat nasional,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau turut menyifatkan Aminuddin sebagai antara pemimpin yang mempunyai kelebihan tersendiri hasil kedudukannya sebagai peneraju kerajaan negeri.

Katanya, faktor personaliti calon semakin memainkan peranan penting dalam menentukan keputusan pilihan raya terutama di kawasan campuran dan luar bandar.

“Walaupun pengaruh parti masih menjadi faktor utama di Negeri Sembilan, terdapat beberapa pemimpin mempunyai kekuatan peribadi yang membolehkan mereka menarik sokongan pengundi merentasi sentimen parti.

“Antaranya Mohamad, Anthony dan Aminuddin mempunyai tahap pengenalan serta rekod perkhidmatan yang baik,” katanya.

Sementara itu, Penganalisis politik Universiti Malaysia Sabah (UMS), Profesor Madya Dr Syahruddin Awang Ahmad turut menamakan Aminuddin sebagai tokoh politik paling sukar digugat.

Menurutnya, ia berdasarkan kedudukannya sebagai penyandang DUN Sikamat serta rekod pentadbiran yang dianggap stabil dan mesra rakyat.

“Pengaruh beliau bukan sahaja bersandarkan kepada kedudukan sebagai Menteri Besar, malah turut disokong oleh reputasi yang baik dalam kalangan pengundi setempat serta kekuatan jentera politik di kawasan tersebut.

“Keadaan itu menjadikan beliau antara tokoh paling kukuh dan berpotensi mempertahankan kerusi dengan selesa,” kata beliau.

Ditanya sama ada majoriti besar pada PRN lalu masih relevan untuk mengukur peluang kemenangan pada kali ini, Syahruddin menjelaskan bahawa angka kemenangan lalu tidak boleh lagi dijadikan ukuran mutlak bagi menentukan peluang kemenangan pada pilihan raya kali ini.

Katanya, perubahan landskap politik semasa termasuk kemunculan pengundi baharu, perubahan kecenderungan generasi muda serta tekanan ekonomi yang dihadapi rakyat telah mengubah corak sokongan pengundi.

“Perubahan penjajaran politik dan kemunculan isu-isu baharu di peringkat negeri menyebabkan keputusan pilihan raya terdahulu tidak lagi menjadi jaminan kemenangan.

“Sebaliknya, keupayaan calon dan parti menangani isu semasa serta memenuhi kehendak rakyat menjadi faktor yang lebih penting,” ujarnya.

Dalam masa sama, beliau berpandangan bahawa faktor personaliti calon kini semakin signifikan dan dalam sesetengah keadaan mampu mengatasi pengaruh parti, khususnya di kawasan luar bandar dan pinggir bandar.

Katanya, pengundi masa kini lebih cenderung menilai rekod perkhidmatan, integriti serta kemampuan seseorang calon menyelesaikan masalah setempat berbanding hanya melihat simbol atau ideologi parti.

“Calon yang mempunyai hubungan rapat dengan masyarakat dan sentiasa turun padang akan memperoleh kelebihan besar kerana pengundi menilai kehadiran dan komitmen mereka secara langsung,” ujarnya.

Scroll to Top