Angkasa serah lapan resolusi perkasa gerakan koperasi

Angkasa serah lapan resolusi perkasa gerakan koperasi

PETALING JAYA – Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa) menyerahkan lapan resolusi kepada kerajaan untuk dipertimbangkan dalam Belanjawan 2027 dalam usaha memperkukuh peranan gerakan koperasi sebagai pemangkin ekonomi negara.

Resolusi tersebut diserahkan Presidennya, Datuk Seri Dr Abdul Fattah Abdullah kepada Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Mohamad Alamin sempena Konvensyen Konsultasi Belanjawan Koperasi Malaysia 2027 bertemakan ‘Koperasi Pemangkin Ekonomi Madani’.

Dalam resolusi itu, kerajaan dimohon mengiktiraf gerakan koperasi secara jelas dalam dokumen dasar utama negara termasuk belanjawan dan Rancangan Malaysia sebagai kuasa ekonomi ketiga serta agen pertumbuhan ekonomi yang inklusif, mampan dan berteraskan kesejahteraan rakyat.

Selain itu, kerajaan turut dicadang memperuntukkan kuota minimum 10 peratus daripada nilai perolehan kerajaan bagi setiap kementerian dan agensi, 10 peratus nilai perolehan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) serta 10 peratus projek pembangunan komuniti kepada koperasi berdaftar.

Angkasa juga memohon pengiktirafan sebagai badan APEX dalam memperkukuh ekosistem perniagaan koperasi dan rakyat menerusi penyediaan peruntukan khusus dalam Belanjawan 2027 bagi pembangunan perniagaan serta penskalaan koperasi.

Sehubungan itu, gerakan koperasi memohon peruntukan berjumlah RM500 juta bagi tahun 2027 untuk pembangunan sektor berkenaan melalui pelbagai agensi kerajaan termasuk Angkasa.

Antara resolusi lain yang dikemukakan ialah memperkenalkan insentif cukai komprehensif kepada perniagaan koperasi serta mengiktiraf caruman berkanun tiga peratus koperasi kepada Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) sebagai sebahagian daripada potongan cukai.

Turut dicadangkan penyediaan peruntukan khas bagi memperkasa penglibatan golongan belia dan profesional melalui program pembangunan kepimpinan, latihan strategik, pembiayaan keusahawanan dan inovasi.

Pada masa sama, kerajaan diminta memperkukuh tadbir urus, audit sosial serta pelaporan impak koperasi bagi mengukur nilai sosial, ekonomi dan alam sekitar yang dijana, sekali gus meningkatkan ketelusan dan keyakinan pemegang taruh.

Resolusi berkenaan turut menekankan keperluan memperuntukkan dana serta insentif digital secara bersasar kepada Angkasa dan koperasi bagi mempercepat transformasi digital, pembangunan Hab Digital Koperasi, penyelesaian teknologi kewangan (FinTech), platform e-dagang dan sistem data bersepadu.

Selain itu, kerajaan juga disaran memperkukuh rangkaian kerjasama koperasi di peringkat ASEAN dan antarabangsa bagi memperluas akses pasaran, menarik pelaburan serta meningkatkan daya saing koperasi Malaysia di peringkat global.

Sehingga Disember 2025, gerakan koperasi negara merekodkan 16,468 koperasi berdaftar dengan keanggotaan seramai 7.3 juta orang, syer dan yuran berjumlah RM18.64 bilion, aset RM186.75 bilion serta perolehan RM81.62 bilion.  

Mohamad (tiga dari kanan) bersama Abdul Fattah (dua dari kanan) menerima cenderahati daripada pempamer ketika meninjau ruang pameran sempena Konvensyen Konsultasi Belanjawan Koperasi Malaysia 2027 di Wisma Ungku Aziz, Kelana Jaya pada Khamis.

Mohamad (tiga dari kanan) bersama Abdul Fattah (dua dari kanan) menerima cenderahati daripada pempamer ketika meninjau ruang pameran sempena Konvensyen Konsultasi Belanjawan Koperasi Malaysia 2027 di Wisma Ungku Aziz, Kelana Jaya pada Khamis.

Sektor koperasi semakin kukuh

Dalam pada itu Abdul Fattah berharap kerajaan dapat mempertimbangkan secara serius semua resolusi yang dikemukakan oleh gerakan koperasi pada kali ini.  

Menurutnya, peranan koperasi diiktiraf di peringkat global sebagai antara penyelesaian berkesan dalam membantu rakyat menghadapi peningkatan kos sara hidup.

“Kita mewakili lebih 7.3 juta anggota koperasi, iaitu hampir separuh rakyat Malaysia. Bila bercakap mengenai ekonomi rakyat, kita juga bercakap mengenai ekonomi koperasi.

“Setiap tahun kita terlibat dalam sesi konsultasi belanjawan, namun hasil yang diperoleh sebelum ini agak mengecewakan.

“Sebab itu kali ini kita menganjurkan konvensyen bagi menunjukkan kesungguhan gerakan koperasi dalam mengemukakan cadangan kepada kerajaan,” katanya ketika ditemui selepas majlis penutup konvensyen berkenaan di Wisma Ungku Aziz, di sini pada Khamis.  

Dalam pada itu beliau menjelaskan, perolehan gerakan koperasi negara kini mencecah RM81.62 bilion, melepasi sasaran yang ditetapkan dalam Dasar Koperasi Malaysia (DAKoM) 2030.

Secara tidak langsung ujarnya, pencapaian itu membuktikan koperasi semakin berperanan sebagai pemacu ekonomi rakyat dan perlu diarusperdanakan sebagai rakan pelaksana utama kerajaan dalam sektor ekonomi rakyat, keterjaminan makanan, ekonomi digital serta pembangunan komuniti luar bandar.

“Sudah tiba masanya pendekatan terhadap sektor koperasi diperkukuh daripada sekadar pendekatan sokongan kepada pendekatan pengupayaan strategik dalam pelaksanaan agenda ekonomi negara.

“Melalui konvensyen ini, kita mahu buktikan kepada kerajaan bahawa sektor koperasi serius dalam memacu ekonomi dan berharap permohonan instrumen kewangan seperti matching grant mahupun micro-financing dapat dipertimbangkan secara serius,” katanya.

Jamin beri perhatian

Sementara itu Mohamad memberi jaminan Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) akan meneliti lapan resolusi yang dikemukakan gerakan koperasi negara sebelum dikemukakan kepada Kementerian Kewangan (MOF) untuk pertimbangan dalam Belanjawan 2027.

Beliau menegaskan, resolusi itu akan diperhalusi di peringkat kementerian bagi memastikan setiap cadangan mempunyai justifikasi yang kukuh.

“Kita akan bincang di peringkat kementerian terlebih dahulu dan memperhalusi segala yang telah dicadangkan termasuk (dana) RM500 juta yang dipohon, sebelum kita serahkan kepada MOF,” katanya.

Scroll to Top