AS yakin 85 peratus perjanjian damai Iran dimeterai

AS yakin 85 peratus perjanjian damai Iran dimeterai

Washington: Amerika Syarikat (AS) yakin antara 80 hingga 85 peratus bahawa satu perjanjian damai dengan Iran akan ditandatangani dalam tempoh beberapa hari lagi, menurut seorang pegawai kanan dalam pentadbiran Presiden Donald Trump pada Jumaat.

Perjanjian itu akan membabitkan pelonggaran sekatan ketara serta pembebasan aset Iran yang dibekukan sebagai balasan kepada persetujuan Iran untuk membongkar program nuklearnya dan menyerahkan bahan nuklear dimiliki, menurut pegawai itu.

“Saya berasa sangat positif mengenai perjanjian ini. Saya fikir presiden sudah mencapai satu kedudukan yang sangat baik.

“Kami masih belum benar-benar sampai ke garisan penamat, tetapi kami sudah sangat hampir,” kata pegawai kanan itu kepada wartawan dalam satu panggilan dengan syarat identitinya tidak didedahkan.

Lokasi dan tarikh bagi sebarang majlis menandatangani perjanjian itu masih belum diputuskan meskipun Eropah pernah dicadangkan oleh Trump sebagai salah satu kemungkinan lokasi, menurut pegawai AS terbabit.

“Kami menjangkakan perjanjian ini akan ditandatangani dalam tempoh beberapa hari lagi. Saya tidak dapat memberikan tarikh yang tepat.

“Jika saya diminta memberikan tahap keyakinan bahawa perjanjian ini akan ditandatangani, mungkin saya akan katakan 75 peratus pagi tadi.

“Namun sekarang ia lebih kepada 80 hingga 85 peratus tetapi masih belum 100 peratus,” katanya.

Menurut pegawai itu, laluan ke arah perjanjian mula menjadi lebih jelas selepas Iran bersetuju memberikan penjelasan terperinci mengenai bagaimana uranium yang diperkaya akan dilupuskan.

Washington juga percaya bahawa penguasaan Iran ke atas Selat Hormuz yang strategik sudah semakin lemah, tambahnya.

Lubnan turut akan dimasukkan dalam perjanjian itu yang sebelum ini mengancam untuk menggagalkan proses rundingan ketika Israel terus melancarkan serangan terhadap sekutu Hezbollah Iran di negara itu.

“Ia membabitkan Lubnan, Iran, negara-negara Teluk dan Israel,” kata pegawai itu.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top