AMK sudah kemuka senarai calon PRN Johor, Negeri Sembilan

AMK sudah kemuka senarai calon PRN Johor, Negeri Sembilan
AMK sudah kemuka senarai calon PRN Johor, Negeri Sembilan

Muhammad Kamil

IPOH – Angkatan Muda Keadilan (AMK) telah mengenal pasti dan mengemukakan senarai calon berpotensi bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan Negeri Sembilan kepada jawatankuasa pemilihan calon parti.

Ketua AMK, Muhammad Kamil Abdul Munim berkata, pihaknya kini hanya menunggu proses penilaian sebelum keputusan muktamad dibuat oleh kepimpinan tertinggi parti.

“Saya sudah mengenal pasti calon-calon yang berpotensi dan sudah menghantar senarai calon ini kepada jawatankuasa pemilihan calon.

“Kita tunggu keputusan penilaian dan insya-ALLAH tidak lama lagi,” katanya ketika ditemui pemberita.

Muhammad Kamil berkata, AMK berharap lebih ramai calon muda diberikan peluang bertanding pada PRN kali ini.

Beliau berharap pemilihan calon tidak hanya bersandarkan faktor usia semata-mata.

“Kita sedaya upaya akan mengetengahkan bukan hanya calon muda tetapi mereka yang berkelayakan dan berkeupayaan.

“Ruang kepada calon daripada AMK wajar diperluaskan kerana sebahagian besar pengundi pada pilihan raya kali ini terdiri daripada mereka yang berusia 45 tahun dan ke bawah,” katanya.

Beliau turut memaklumkan, AMK akan menggerakkan jentera semaksimum mungkin untuk membantu kempen di kedua-dua negeri walaupun berlangsung dalam suasana musim perayaan.

Dalam pada itu, beliau berpandangan pelaksanaan PRN Johor dan Negeri Sembilan sepatutnya diadakan serentak bagi memudahkan penyelarasan jentera selain menjimatkan kos.

Katanya, keputusan menetapkan tarikh berbeza bagi kedua-dua pilihan raya itu wajar dijelaskan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

“Saya fikir sewajarnya ia dilakukan sekali bagi tujuan penyelarasan dan penjimatan kos.

“Saya tidak tahu apa alasan SPR menetapkan dua tarikh berbeza dan perkara itu perlu dijelaskan oleh pihak berkenaan,” katanya.

Scroll to Top