Jangan tangani isu Rohingya ikut emosi – Muhammad Kamil

Jangan tangani isu Rohingya ikut emosi – Muhammad Kamil

IPOH – Isu melibatkan komuniti Rohingya di negara ini perlu ditangani secara berhemah dan mengikut lunas undang-undang bukannya berdasarkan emosi atau tindakan sendiri oleh masyarakat.

Setiausaha Politik Menteri Kewangan, Muhammad Kamil Abdul Munim berkata, kehadiran komuniti itu di Malaysia berpunca daripada krisis kemanusiaan dan penindasan yang berlaku di negara asal mereka beberapa tahun lalu sehingga memaksa mereka mencari perlindungan.

Menurutnya, walaupun terdapat kebimbangan masyarakat terhadap pertambahan komuniti Rohingya di negara ini sebarang tindakan perlu dibuat mengikut saluran perundangan yang ditetapkan.

“Jangan kita bertindak secara emosional. Saya faham ada desakan dan kebimbangan masyarakat mengenai pertambahan kelompok ini namun perkara ini mesti diuruskan mengikut lunas undang-undang.

“Kita juga melihat pihak polis telah mengingatkan orang ramai supaya tidak mengambil tindakan sendiri, termasuk menjalankan kempen menangkap warga Rohingya,” katanya kepada pemberita.

Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan Majlis Anugerah Kecemerlangan Akademik Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tanjong Rambutan di sini pada Sabtu.

Muhammad Kamil berkata, sekiranya terdapat individu dalam kalangan komuniti Rohingya yang melakukan kesalahan, tindakan sewajarnya hendaklah diambil oleh pihak berkuasa mengikut undang-undang.

“Kalau mereka melakukan kesalahan, tangkap, siasat dan dakwa. Kita tidak akan berkompromi jika mereka menjejaskan ketenteraman atau keamanan negara.

“Namun biarlah semua tindakan diuruskan melalui pendekatan yang baik serta mengikut peraturan dan undang-undang,” katanya.

Mengulas dakwaan terdapat penempatan dan kemudahan yang dibina untuk komuniti Rohingya di beberapa lokasi, beliau berkata, isu itu perlu dilihat daripada pelbagai sudut termasuk tanggungjawab menjaga kedaulatan negara dan aspek kemanusiaan.

Katanya, kewujudan premis atau penempatan tersebut juga melibatkan urusan dengan pemilik premis atau majikan yang terdiri daripada warganegara Malaysia.

“Kalau mereka menyewa kedai atau bekerja, sudah tentu ada pihak tempatan yang memberikan kebenaran. Jadi kita perlu melihat kedua-dua aspek ini.

“Jika mahu mengambil tindakan seperti merobohkan penempatan, perlu ada pelan yang tersusun mengenai ke mana mereka akan ditempatkan. Saya yakin pihak berkuasa sedang meneliti mekanisme terbaik untuk menyelesaikan isu ini,” ujarnya.

Beliau turut memaklumkan kerajaan sedang meneliti langkah serta tindakan terbaik berhubung isu berkenaan berdasarkan peraturan dan peruntukan undang-undang sedia ada.

Sebelum ini Sinar Harian melaporkan isu penempatan haram etnik Rohingya yang semakin membarah di negara ini memerlukan pendekatan menyeluruh melibatkan pelbagai agensi dan negara berkaitan, bukannya diletakkan di bahu pihak berkuasa seperti polis semata-mata.

Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, masalah yang telah berlarutan sejak sekian lama itu perlu ditangani secara terancang memandangkan ia melibatkan pelbagai aspek termasuk kemasukan pendatang tanpa izin (PATI), keselamatan serta isu kemanusiaan.

Menurutnya, berdasarkan statistik sehingga April lalu, terdapat seramai 219,472 pemegang kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) di Malaysia.

Scroll to Top