IPOH – Parti Keadilan Rakyat (PKR) menegaskan bahawa tindakan segelintir ahlinya meninggalkan parti tidak akan menggugat kekuatan organisasi itu.
Timbalan Ketua Penerangan Angkatan Muda Keadilan (AMK) Pusat, R Sharvin berkata, sebaliknya tindakan itu akan memperkukuhkan lagi barisan kepimpinan serta anggota yang kekal setia kepada perjuangan reformasi.
Menurutnya, perjuangan politik bukan sekadar mengejar jawatan atau kepentingan peribadi, sebaliknya merupakan amanah untuk membela rakyat, memperkukuhkan ekonomi negara dan menjamin masa depan Malaysia.
“Semakin ramai pengkhianat perjuangan keluar daripada parti, semakin kukuh saf kepimpinan dan keanggotaan yang benar-benar setia kepada cita-cita reformasi serta perjuangan rakyat.
“PKR tidak memerlukan individu yang hanya bersama ketika senang tetapi meninggalkan perjuangan apabila berdepan cabaran,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.
Sharvin berkata, tindakan meninggalkan parti tidak membawa manfaat kepada rakyat atau membantu usaha mengukuhkan ekonomi dan kesejahteraan masyarakat.
Katanya, perbuatan itu hanya mencerminkan kegagalan sesetengah pihak meletakkan kepentingan negara mengatasi kepentingan diri.
Dalam pada itu, Sharvin memaklumkan PKR terus menerima penyertaan anggota baharu yang memahami aspirasi perjuangan parti dan bersedia berkhidmat demi rakyat.
Katanya, sokongan golongan muda terhadap parti itu juga semakin meningkat kerana mereka melihat kestabilan politik di bawah Kerajaan Perpaduan berjaya memacu pertumbuhan ekonomi, menarik pelaburan serta membuka lebih banyak peluang kepada rakyat.
Menurut beliau, generasi muda kini semakin matang dalam menilai perbezaan antara politik berteraskan kepentingan peribadi dan politik yang memberi tumpuan kepada pembangunan negara.
Tambahnya, di bawah kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Kerajaan Perpaduan akan terus komited memperkukuh ekonomi, melaksanakan reformasi institusi dan memastikan kemakmuran dapat dinikmati oleh seluruh rakyat Malaysia.
Terdahulu media melaporkan seramai 50 ahli PKR Cabang Parit Buntar mengisytiharkan keluar parti selepas mendakwa hilang kepercayaan serta kecewa terhadap kepimpinan dan hala tuju parti yang disifatkan semakin tidak jelas.
Mantan Ketua AMK Parit Buntar, Akhbar Ridzuan Jamaludin berkata, keputusan tersebut dibuat selepas penilaian mendalam terhadap perkembangan semasa parti termasuk isu berkaitan Pemilihan PKR 2025 yang didakwa menimbulkan pelbagai persoalan berhubung ketelusan, keadilan serta integriti proses demokrasi dalaman.



