
Hamzah Zainudin umum parti baharu dikenali sebagai Parti Wawasan Negara.
TANAH MERAH – Ketua Gerakan Reset Malaysia, Datuk Seri Hamzah Zainudin pada Sabtu mengumumkan bahawa gerakan itu akan bergerak di bawah sebuah parti baharu dikenali sebagai Parti Wawasan Negara dalam usaha memperkukuh kerjasama politik bersama pelbagai blok di negara ini.
Menurut beliau, parti diwujudkan sebagai wadah penyatuan yang akan bekerjasama dengan Pas dan parti-parti lain yang sehaluan bagi membentuk kesepahaman politik yang lebih komprehensif dan meyakinkan.
Hamzah berkata, kerjasama itu penting bagi memastikan kekuatan politik yang lebih tersusun dan stabil dalam menghadapi cabaran semasa.
“Kami mahu bersama membentuk kesepahaman dan kerjasama politik yang lebih komprehensif, kami akan membina satu kekuatan seperti ‘bangunan yang tersusun kukuh’ demi agenda masa depan rakyat Malaysia,” katanya ketika berucap pada Konvensyen Reset Malaysia di Kota Harmoni di sini pada Sabtu.



