BANGKOK – Puteri sulung pemerintah Thailand, Raja Maha Vajiralongkorn atau Rama X menghembuskan nafas terakhir pada usia 47 tahun selepas hampir empat tahun berada dalam keadaan koma.
Puteri Bajrakitiyabha Mahidol atau mesra disapa Puteri Bha telah dimasukkan ke hospital sejak Disember 2022 selepas mengalami masalah jantung yang serius ketika sedang melatih anjing-anjingnya.
Sepanjang tempoh itu perkembangan terkininya jarang dikongsikan kepada umum. Tetapi, pihak istana pada bulan lalu mengesahkan tahap kesihatannya semakin merosot akibat pelbagai jangkitan pada beberapa organ dan para doktor gagal menstabilkan degupan jantungnya yang tidak teratur.
Pada April, doktor mengesan jangkitan pada perut yang menyebabkan keradangan usus, sekali gus mengakibatkan tekanan darahnya menurun dan degupan jantung menjadi tidak normal. Fungsi buah pinggang dan pernafasannya juga disokong dengan bantuan peralatan perubatan.
Kemangkatannya dijangka menimbulkan persoalan mengenai pewarisan takhta yang merupakan satu isu yang sensitif di Thailand. Sebarang perbincangan awam mengenai institusi diraja dibatasi oleh undang-undang lese majesty yang sangat ketat. Hal ini kerana kritikan terhadap keluarga diraja boleh membawa hukuman penjara sehingga 15 tahun.
Ramai penganalisis menganggap Bajrakitiyabha sebagai calon yang sesuai untuk mewarisi takhta walaupun perkara itu tidak pernah diumumkan secara rasmi.
Rama X, 73, pernah berkahwin sebanyak empat kali dan dikurniakan tujuh cahaya mata. Bajrakitiyabha merupakan salah seorang daripada tiga anak baginda yang memegang gelaran diraja bersama Puteri Sirivannavari, 38, dan Puteri Dipangkorn, 20.
Terdapat spekulasi bahawa Bajrakitiyabha mungkin bertindak sebagai pemangku raja bagi Dipangkorn yang dilaporkan mempunyai kesukaran dalam pembelajaran atau mungkin bakal bergelar ratu. Namun, Thailand tidak pernah mempunyai seorang ratu yang memerintah sebagai ketua negara.
Empat lagi putera Rama X menetap di luar negara sejak pertengahan 1990-an selepas Rama X mengumumkan perceraian dengan bonda mereka, Sujarinee dan menuduhnya berlaku curang.
Kesemua putera baginda pernah kembali ke tanah air pada 2023 dan beberapa kali berkunjung ke Bangkok. Namun pada tahun lalu, mereka mendakwa telah dihalang daripada memasuki negara itu.
Bonda Bajrakitiyabha iaitu Puteri Soamsawali diceraikan pada 1991, tetapi gelaran dirajanya masih dikekalkan dan terus memainkan peranan penting dalam institusi monarki. Srirasmi Suwadee yang merupakan bonda kepada Dipangkorn pula telah dilucutkan gelaran dirajanya selepas ahli keluarganya dituduh terlibat dalam rasuah.
Sehingga kini, Rama X belum mengumumkan pewaris takhta. Mengikut adat diraja Thailand, pewaris takhta sepatutnya seorang lelaki. Namun, pindaan Perlembagaan pada 1974 membenarkan seorang wanita menaiki takhta sebagai pemerintah negara itu.
Aktif di pentas antarabangsa

Kemangkatan puteri kesayangan rakyat itu merupakan satu kehilangan besar kepada Thailand. – Foto Agensi
Puteri Bajrakitiyabha Mahidol diputerikan pada 7 Disember dan merupakan cucuanda sulung kepada Raja Bhumibol Adulyadej dan Permaisuri Sirikit.
Beliau melanjutkan pengajian dalam bidang undang-undang di Universiti Thammasat pada 2001 dan memperoleh Ijazah Sarjana Muda Sains Politik daripada Sukhothai Thammathirat Open University.
Pada 2004, beliau diterima sebagai peguam bela di Thai Bar Association pada tahun 2004 dan kemudiannya menyambung pengajian undang-undang di Amerika Syarikat (AS) serta memperoleh Ijazah Sarjana Undang-Undang dan Ijazah Doktor Falsafah (PhD) Perundangan daripada Cornell University.
Bajrakitiyabha pernah berkhidmat bagi tempoh singkat untuk Misi Thailand ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di New York sebelum kembali ke tanah air dan berkhidmat di pejabat Peguam Negara serta beberapa lokasi lain di negara itu.
Pada 2012 hingga 2014, beliau memegang peranan sebagai Duta Thailand ke Austria di mana beliau menjalin kerjasama rapat dengan Pejabat PBB mengenai Dadah dan Jenayah (UNODC).
Sekembalinya ke Thailand, beliau dilantik sebagai Duta UNODC bagi Kedaulatan Undang-Undang di Asia Tenggara dan terus memperjuangkan reformasi sistem keadilan jenayah di negara itu.
Pada tahun 2021, ayahandanya melantik beliau sebagai Ketua Turus dalam pasukan pengawal peribadi diraja dan menganugerahkan pangkat jeneral kepadanya.
Selain itu, Bajrakitiyabha juga merupakan seorang pengamal gaya hidup sihat dan sering menyertai acara larian jarak jauh.
Kemangkatan puteri kesayangan rakyat itu merupakan satu kehilangan besar kepada Thailand dan beliau dikenang sebagai lambang nilai-nilai murni negara Gajah Putih tersebut. – Agensi



