Dua pasangan suami isteri tular pukul pembantu rumah ditahan

Dua pasangan suami isteri tular pukul pembantu rumah ditahan

ISKANDAR PUTERI: Dua pasangan suami isteri ditahan polis malam semalam selepas video mereka memukul seorang pembantu rumah warga Indonesia tular di aplikasi media sosial.

Ketua Polis Johor, Datuk Ab. Rahaman Arsad berkata, keempat-empat suspek warga tempatan yang ditahan berusia antara 30 hingga 34 tahun itu ditahan di sebuah kediaman di Taman Johor, Skudai pada pukul 7.30 malam.

“Bertindak atas maklumat, video berkenaan dipercayai berlaku pada 26 Julai tahun lalu, namun baharu ditularkan oleh salah seorang mangsa yang membuat rakaman kejadian secara senyap-senyap.

“Siasatan awal turut mendapati kejadian itu melibatkan tiga pembantu rumah warga Indonesia yang dipercayai masih berada dalam negara, usaha mengesan mereka sedanh dijalankan,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Iskandar Puteri, di sini hari ini.

Tambah Ab. Rahaman, kesemua suspek direman sehari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan, Seksyen 506 Kanun Keseksaan, Seksyen 354 Kanun Keseksaan, Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia serta Seksyen 12(1)(f) Akta Pasport.

“Polis turut merampas telefon bimbit, pakaian digunakan suspek dalam video tular, kamera litar tertutup dan dua pasport Indonesia yang dipercayai merupakan milik dua daripada tiga mangsa.

“Semakan lampau juga mendapati keempat-empat suspek tidak mempunyai rekod jenayah lampau manakala ujian urin mendapati kesemuanya negatif penyalahgunaan dadah,” katanya.-UTUSAN

Scroll to Top