H: Ibu Khaty saran bakat baharu rebut peluang buat persembahan dengan penyanyi senior demi pengalaman
Norhayati Nordin
norhayati_nordin@hmetro.com.my
Gambar
Kuala Lumpur: Penyanyi Datuk Khadijah Ibrahim, 66, menyarankan bakat baharu agar mengambil peluang membuat persembahan bersama penyanyi senior untuk menimba ilmu dan pengalaman.
Khadijah yang mesra disapa Ibu Khaty berkata, beliau sangat berharap semua anak seni tidak kira berusia atau muda supaya bersatu dan bersikap terbuka membantu antara satu sama lain demi pertahankan kemeriahan industri hiburan tanah air.
“Saya sering bercakap dan mahu ingatkan kita sebagai artis ini ‘must always be together’. Bantulah antara satu sama lain. Jangan kita kutuk atau mengata sesama sendiri sampai boleh menjatuhkan industri, saya rasa tidak sihat.
“Apa pun saya dapati semakin hari begitu ramai anak muda yang keluar mewarnai industri seni, namun sayangnya sesama kita sendiri juga tidak saling mengenali? Boleh dikatakan kehadiran itu sekadar ‘datang dan pergi’.
“Sepatutnya jika bakat muda ini mendapat ruang dan peluang menyanyikan lagu penghibur lama dan muncul membuat persembahan sepentas, bagi saya itu lebih baik. Jangan disia-siakan untuk mereka ‘learn’ (belajar),” katanya.
Menurut adik kepada Allahyarham Latif Ibrahim dan Allahyarham Sophia Ibrahim ini, beliau sendiri memulakan karier nyanyian pada era 1970-an apabila mendapat peluang merakam lagi ketika berusia 15 tahun.
“Arwah abang (Latif) dulu adalah seorang individu yang banyak mengajar. Sebagai orang muda kena selalu menghormati senior, tidak ada benda yang boleh dijadikan ruang untuk tidak hormat kepada orang lain.
“Kita juga dilatih agar tidak ambil peduli perkara kurang baik. Dalam kehidupan ini, apa yang penting sebagai artis kita mesti bersatu. Tolong antara satu sama lain, termasuk mempertahankan karier,” katanya.
Katanya, bukan mudah untuk kekal bertahan dalam industri seni maka sokongan serta penyatuan antara penyanyi lama dan bakat baharu penting untuk berkongsi ilmu mahupun pengalaman.
“Orang muda belajar dengan orang berusia, begitu juga yang berusia boleh juga belajar dengan golongan muda. Sebab itu pentingnya kita sebagai artis bersatu tanpa memandangkan status siapa yang lebih popular.
“Saya mohon kepada bakat muda agar ambil peluang jika kamu ada ‘offer’ untuk buat persembahan sepentas dengan penghibur senior. Ini juga yang saya cuba lakukan sebagai Pengerusi Persatuan Karyawan Malaysia (Karyawan) menerusi ‘show’ amal yang kita buat untuk kumpul dana.
“Karyawan memang jemput bakat muda untuk terbabit menyanyi bersama dalam ‘show’ kita anjurkan. Tetapi, saya dapati untuk berkongsi pengalaman menjemput mereka (bakat muda) menyanyi dengan kita (penghibur senior) selalu diarahkan kepada pengurus.
“Kadang-kadang untuk dapatkan persetujuan itu, kita kena tunggu jawapan mereka dalam seminggu, ada juga yang sampai sebulan. Tetapi, sayangnya mereka (bakat muda) lupa tujuan dijemput adalah nak membantu karier,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




