TAIPING – Rakyat Malaysia diseru untuk terus memelihara perpaduan kaum sedia ada demi menjamin keamanan, kestabilan dan kemakmuran negara.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berkata, sepertimana setiap alat muzik dalam sebuah orkestra perlu dimainkan secara harmoni untuk menghasilkan persembahan yang indah, rakyat pelbagai latar belakang juga perlu bekerjasama serta saling menghormati antara satu sama lain.
Menurutnya, kepelbagaian yang dimiliki Malaysia bukan satu kelemahan, sebaliknya menjadi kekuatan sekiranya dipandu dengan sikap saling memahami, menghormati dan mempunyai matlamat bersama.
“Dalam sebuah negara yang kaya dengan kepelbagaian, kita perlu sentiasa menghormati dan memahami perbezaan antara satu sama lain. Jika terus bertelagah, ia bukan sahaja tidak membantu negara maju, malah boleh mengundang lebih banyak kerosakan dan ketidakstabilan.
“Ketika negara menghampiri musim pilihan raya, rakyat tidak seharusnya membiarkan perbezaan pandangan politik memecahbelahkan masyarakat. Sebaliknya, kita perlu menjunjung semangat kematangan, saling menghormati dan perpaduan,” katanya.

Kor Ming ketika merasmikan Festival Pancaragam Belia Antarabangsa Taiping 2026 di sini pada Sabtu.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Festival Pancaragam Belia Antarabangsa Taiping 2026 di sini pada Sabtu.
Kor Ming berkata, di bawah kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Malaysia berjaya disenaraikan sebagai antara 12 negara paling aman di dunia berdasarkan Indeks Keamanan Global.
Jelas Ahli Parlimen Teluk Intan itu, pengiktirafan berkenaan merupakan satu pencapaian yang wajar dihargai seluruh rakyat.
Mengulas mengenai penganjuran festival itu, beliau berkata, penyertaan kumpulan pancaragam belia dari Malaysia, Jepun, Filipina, Indonesia dan Hong Kong membuktikan masyarakat daripada pelbagai budaya, negara mampu hidup serta bekerjasama secara harmoni.
Katanya, muzik merupakan bahasa sejagat yang merentasi sempadan kaum, agama, bahasa dan kewarganegaraan, sekali gus berupaya memupuk persahabatan, menyemai harapan serta mengeratkan hubungan antara komuniti.
Menurut beliau, sesebuah bandar bertaraf dunia tidak seharusnya dinilai berdasarkan pembangunan ekonomi semata-mata, sebaliknya aspek muzik, budaya dan seni juga memainkan peranan penting dalam membentuk persekitaran bertaraf antarabangsa.
Dalam pada itu, Kor Ming turut merakamkan penghargaan kepada penganjur, pendidik, sukarelawan, penaja serta rakan strategik yang menjayakan festival tersebut sehingga berjaya mengetengahkan warisan Taiping dan kekayaan budaya Malaysia di peringkat antarabangsa.
Beliau berharap hubungan persahabatan yang terjalin sepanjang festival itu dapat diteruskan dan menggesa seluruh rakyat Malaysia menghayati nilai hormat-menghormati, disiplin, persefahaman serta perpaduan sebagai asas membina negara lebih kukuh.



