Kementerian Perpaduan Negara (KPN) menyambut baik pengumuman yang dibuat Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sempena Sambutan Minggu Perpaduan 2026 Peringkat Kebangsaan.
Inisiatif ini dijangka perkasa peranan SRN dan KRN
Menurut Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang pemberian geran aktiviti sebanyak RM10,000 kepada setiap 189 Sekretariat Rukun Negara (SRN) dan RM5,000 kepada setiap 6,849 Kelab Rukun Negara (KRN) dilihat mampu memperkukuh penghayatan nilai-nilai Rukun Negara dalam kalangan rakyat.
Inisiatif tersebut juga dijangka memperkasakan peranan SRN dan KRN sebagai platform utama untuk memupuk semangat perpaduan, patriotisme serta tanggungjawab kewarganegaraan khususnya dalam kalangan generasi muda.

Langkah penting didik rakyat tentang perjuangan tokoh-tokoh
Selain itu, Aaron juga menyatakan Kementerian Perpaduan Negara menyambut baik pengumuman peruntukan geran padanan berjumlah RM5 juta menerusi Belanjawan 2027 bagi menghidupkan semula 10 memorial negarawan yang dikelolakan oleh Arkib Negara Malaysia.
Menurutnya, langkah berkenaan bukan sahaja dapat memelihara warisan sejarah negara malah menjadi medium penting dalam mendidik rakyat mengenai perjuangan tokoh-tokoh yang memainkan peranan membina Malaysia sebagai sebuah negara yang aman, bersatu dan berdaulat.

Beliau berpandangan bahawa usaha tersebut mencerminkan komitmen Kerajaan MADANI dalam memperkukuh agenda perpaduan nasional melalui penghayatan Rukun Negara dan pemerkasaan sejarah negara.
Pada masa sama, sejarah negara perlu terus diangkat dan dihargai supaya generasi masa kini serta akan datang memahami asas pembentukan negara dan nilai yang menyatukan rakyat Malaysia.
Kementerian Perpaduan Negara menegaskan komitmennya untuk memastikan semua inisiatif yang diumumkan dapat dilaksanakan secara berkesan demi memperkukuh perpaduan, memupuk semangat patriotisme serta memperkasakan identiti nasional selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI.




