Tiada lagi alasan kewangan! BAeK PTPTN insiatif kerajaan elak pelajar layak tercicir ke IPTA

Tiada lagi alasan kewangan! BAeK PTPTN insiatif kerajaan elak pelajar layak tercicir ke IPTA

Seramai 10,000 pelajar daripada keluarga miskin bakal menerima manfaat menerusi pelaksanaan Biasiswa Anak eKasih PTPTN (BAeK PTPTN), sekali gus memperkukuh akses pendidikan tinggi dalam negara.

Inisiatif agar tiada pelajar layak tercicir

Inisiatif yang dilaksanakan oleh PTPTN itu selaras dengan aspirasi kerajaan untuk memastikan tiada pelajar yang layak tercicir daripada melanjutkan pengajian ke Institusi Pendidikan Tinggi Awam (IPTA) akibat kekangan kewangan.

Foto: YB Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir, Menteri Pendidikan Tinggi (tengah) dan YBhg. Dato’ Seri Norliza Abdul Rahim, Pengerusi PTPTN (tiga dari kiri) bergambar bersama penerima Biasiswa Anak eKasih PTPTN (BAeK PTPTN) di Kulai, Johor.

 

Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah mengumumkan inisiatif biasiswa atau pendidikan percuma PTPTN melibatkan 5,800 anak keluarga miskin ketika pembentangan Belanjawan 2026 dengan peruntukan RM120 juta setahun.

Walau bagaimanapun, menerusi pengumuman terkini di bawah Rancangan Pendidikan Tinggi Malaysia (RPTM) 2026-2035, jumlah penerima telah ditingkatkan kepada 10,000 pelajar daripada keluarga miskin.

Foto: FB PTPTN

Akan diberikan biasiswa kepada pelajar miskin & miskin tegar

Melalui BAeK PTPTN, pinjaman PTPTN akan diberikan dalam bentuk biasiswa kepada pelajar miskin dan miskin tegar yang berdaftar dalam pangkalan data eKasih serta mengikuti pengajian Diploma atau Ijazah Sarjana Muda secara sepenuh masa di IPTA bermula 1 Januari 2026.

Antara syarat kelayakan yang ditetapkan termasuklah pemohon mestilah warganegara Malaysia berumur tidak melebihi 25 tahun, mengikuti kursus yang berdaftar dengan PTPTN, mempunyai akaun Simpan SSPN yang aktif serta tidak mempunyai tunggakan pinjaman PTPTN.

Permohonan boleh dibuat menerusi aplikasi web myPTPTN dan pelajar yang layak akan terlebih dahulu diluluskan pinjaman PTPTN bagi memastikan kelangsungan pengajian mereka sebelum ditawarkan BAeK PTPTN.

Pelajar yang berjaya akan dimaklumkan menerusi e-mel dan notifikasi dalam aplikasi myPTPTN sebelum perlu mengembalikan dokumen tawaran secara fizikal di mana-mana kaunter PTPTN dalam tempoh 14 hari.

Foto: FB PTPTN

Menerusi inisiatif ini, pelajar Diploma akan menerima biasiswa sebanyak RM4,750 setahun, manakala pelajar Ijazah Sarjana Muda (Sastera) menerima RM6,180 setahun dan Ijazah Sarjana Muda (Sains) sebanyak RM6,650 setahun.

Majlis penyerahan BAeK PTPTN kepada para pelajar telah berlangsung di Johor hari ini dan disempurnakan oleh Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Diraja Dr Zambry Abd Kadir.

Sehingga 31 Mei 2026, seramai 402 pelajar di seluruh negara telah menerima manfaat menerusi inisiatif ini dengan jumlah peruntukan sebanyak RM8.79 juta.

Pelaksanaan BAeK PTPTN dilihat mampu membantu golongan yang memerlukan untuk melanjutkan pengajian tanpa dibebani hutang, sekali gus membuka lebih banyak peluang ke arah masa depan yang lebih baik.

Penyerahan BAeK PTPTN akan diteruskan pada minggu depan dengan melibatkan dua penerima dari Melaka.

 

Scroll to Top