Nahas empat maut di KLK: Pemandu treler ada 15 rekod saman

Nahas empat maut di KLK: Pemandu treler ada 15 rekod saman

BENTONG: Pemandu treler yang terlibat nahas mengorbankan empat sekeluarga selepas sebuah kereta dihempap di Kilometer 43 Lebuhraya Kuala Lumpur–Karak (KLK) arah Bentong di sini petang tadi didapati mempunyai 15 rekod saman trafik.

Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman berkata, hasil semakan awal mendapati pemandu treler berusia 40 tahun itu mempunyai rekod saman terdahulu, manakala sampel darahnya turut diambil bagi tujuan analisis toksikologi.

Katanya, kemalangan kira-kira pukul 4.30 petang itu melibatkan sebuah treler membawa muatan habuk besi dengan sebuah kereta jenis Honda City yang dinaiki empat mangsa.

“Treler tersebut dipandu seorang lelaki warga tempatan berusia 40 tahun, manakala Honda City itu dipandu seorang lelaki tempatan berusia 55 tahun bersama tiga penumpang berusia antara setahun hingga 58 tahun,” katanya di sini.

Menurut Yahaya, siasatan awal mendapati treler itu dalam perjalanan dari Kuala Lumpur menuju ke Kuantan sebelum dipercayai hilang kawalan ketika melalui jalan menuruni bukit dan berselekoh di lokasi kejadian.

“Treler berkenaan dipercayai hilang kawalan sebelum terbalik ke sebelah kiri jalan lalu menghempap sebuah kereta yang berada di lorong kiri,” katanya.

Beliau berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – UTUSAN

Scroll to Top