Anwar terima kunjungan Sheikh Dr Mohammad Abdulkarim Alissa

Anwar terima kunjungan Sheikh Dr Mohammad Abdulkarim Alissa
Anwar terima kunjungan Sheikh Dr Mohammad Abdulkarim Alissa

Anwar menerima kunjungan hormat daripada Sheikh Dr Mohammed di Kompleks Seri Perdana, Putrajaya. Foto Pejabat Perdana Menteri

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menerima kunjungan Setiausaha Agung Rabithah al-Alam al-Islami (Liga Dunia Muslim), Sheikh Dr Mohammad Abdulkarim Alissa dan saling bertukar pandangan mengenai perkembangan dunia Islam serta usaha memperkukuh persefahaman antara agama.

Pertemuan itu, yang berlangsung di Putrajaya, turut menyentuh kejayaan Sidang Kemuncak Pemimpin Agama Antarabangsa Ke-3 di sini baru-baru ini yang berjaya menghimpunkan tokoh agama, cendekiawan dan pemimpin masyarakat pelbagai latar belakang serta negara.

“Platform ini amat penting dalam membina persefahaman, merapatkan jurang perbezaan serta memupuk budaya dialog yang matang,” katanya menerusi hantaran di X pada Ahad.

Beliau berkata, Sheikh Mohammad turut berkongsi pandangan mengenai peranan Malaysia dalam memperkukuh hubungan antara dunia Islam dengan masyarakat antarabangsa termasuk usaha membina jambatan persefahaman antara Timur dan Barat.

“Saya menghargai peranan aktif badan ini (Rabithah al-Alam al-Islami) dalam mempromosikan kesederhanaan, keamanan serta kerjasama rentas agama pada saat dunia berdepan pelbagai konflik dan ketegangan yang semakin meruncing,” katanya.

Menurut Perdana Menteri, pertemuan itu turut membincangkan kedudukan dunia Islam serta keperluan memperkukuh kekuatan umat menerusi pendidikan, pembangunan ekonomi selain penguasaan ilmu dan teknologi di samping mengangkat nilai keadilan, ihsan serta kemanusiaan sejagat.

“Kami juga sepakat bahawa masa depan yang lebih aman dan stabil hanya dapat dibina melalui dialog yang berterusan, sikap saling menghormati serta keterbukaan menjalin hubungan lebih erat antara masyarakat dan penganut pelbagai agama di seluruh dunia,” katanya. – Bernama

 

 

Scroll to Top