Piala Dunia 2026: Lamine Yamal sedia pimpin misi Sepanyol bertemu Cape Verde

Piala Dunia 2026: Lamine Yamal sedia pimpin misi Sepanyol bertemu Cape Verde

Atlanta: Selepas mencipta nama sebagai antara bintang muda paling menyerlah dunia sebelum mencecah usia 18 tahun, Lamine Yamal kini bersedia memperkenalkan dirinya di pentas terbesar bola sepak apabila Sepanyol memulakan kempen Piala Dunia 2026 menentang Cape Verde, awal pagi esok.

Pemain sensasi Barcelona itu dijangka membuat penampilan sulung di Piala Dunia dalam aksi Kumpulan H dengan misi membantu La Roja memburu gelaran dunia kedua selepas kejayaan pada 2010.

Yamal, yang menduduki tempat kedua dalam undian Ballon d’Or terbaru, meledak 24 gol dan mencipta 17 bantuan jaringan bersama Barcelona musim lalu selepas merekodkan 18 gol serta 21 bantuan jaringan pada musim sebelumnya.

Pemegang rekod pemain termuda beraksi dan menjaringkan gol buat Sepanyol pada usia 16 tahun 57 hari itu dijangka kembali beraksi selepas berehat sejak 22 April akibat kecederaan hamstring kiri.

“Sejak kecil lagi, ia adalah satu kejohanan yang ditonton oleh semua orang. Itulah yang menjadikannya istimewa.

“Walaupun kamu tidak meminati bola sepak, apabila negara anda bermain, semua orang akan keluar ke jalanan dan menonton bersama. Itulah keindahan sukan ini. Saya meremang apabila memikirkan saya akan menjadi sebahagian daripadanya,” katanya kepada FIFA.

Bagaimanapun, tahap kecergasan Yamal dan seorang lagi penyerang yang baru pulih daripada kecederaan, Nico Williams, masih menjadi perhatian selepas kedua-dua mereka terlepas aksi persahabatan terakhir menentang Peru.

“Mereka semua bersedia untuk aksi menentang Cape Verde. Tetapi itu tidak bermakna mereka akan bermain.

“Kita akan lihat keadaan mereka. Mereka adalah keutamaan dan kami akan menentukan sama ada perlu memberi mereka minit permainan atau tidak,” kata jurulatih Sepanyol, Luis de la Fuente.

Sepanyol hadir ke Piala Dunia sebagai pasukan kedua terbaik dunia mengikut ranking FIFA selepas muncul juara Liga Negara Negara 2023 dan Euro 2024 di bawah bimbingan de la Fuente.

Namun, La Roja gagal melepasi suku akhir sejak menjulang trofi dunia pada 2010 dan tekad menamatkan kemarau itu kali ini.

“Kami akan bermain setiap perlawanan seolah olah ia adalah yang terakhir, menghormati lawan dan bersedia mencabar kejuaraan.

“Satu satunya perkara yang kami minta ialah usaha, kerja keras dan komitmen. Keputusan akan datang dengan sendirinya,” katanya.

Sementara itu, Cape Verde bakal mencipta sejarah apabila membuat penampilan sulung di Piala Dunia selepas menjadi antara negara terkecil pernah layak ke kejohanan itu.

“Beraksi di Piala Dunia adalah sesuatu yang tidak pernah kami bayangkan akan berlaku secepat ini.

“Sebelum ini rakyat kami hanya memilih negara lain untuk disokong ketika Piala Dunia. Kini mereka akhirnya boleh bersorak untuk negara sendiri,” kata pertahanan kiri Cape Verde, Stopira.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top