Houston: Jerman memulakan kempen Piala Dunia 2026 dengan kemenangan bergaya 7-1 ke atas debutan Curacao dalam aksi Kumpulan E di Houston, meskipun terlebih dahulu dikejutkan dengan gol awal lawan.
Skuad kendalian Julian Nagelsmann itu tidak menunggu lama untuk membuka jaringan apabila Felix Nmecha meledak gol menarik pada minit keenam hasil gerakan bersama Florian Wirtz.
Namun Curacao yang membuat penampilan sulung di pentas Piala Dunia tidak pulang tangan kosong apabila Livano Comenencia meledak gol penyamaan, sekali gus mencetuskan sorakan besar penyokong “Blue Wave” di stadium.
Jaringan itu bagaimanapun tidak mengganggu rentak Jerman yang kembali menguasai permainan apabila Nico Schlotterbeck menanduk masuk gol pada minit ke-38 sebelum Kai Havertz menyempurnakan sepakan penalti untuk memberikan kelebihan selesa sebelum rehat.
Bersambung babak kedua, Jerman terus meningkatkan tempo apabila Jamal Musiala menjaringkan gol awal hanya 69 saat selepas sepak mula.
Nathaniel Brown, Deniz Undav dan Havertz yang melengkapkan jaringan kedua peribadi memastikan kemenangan besar 7-1 menjadi milik empat kali juara dunia itu.
Walaupun tewas besar, Curacao tetap mencipta sejarah tersendiri apabila menjaringkan gol pertama mereka di pentas Piala Dunia menerusi Comenencia.
Penjaga gol Jerman, Manuel Neuer turut mencipta rekod sebagai pemain tertua negara itu beraksi di Piala Dunia pada usia 40 tahun, manakala jurulatih Curacao, Dick Advocaat menjadi pengendali tertua dalam sejarah kejohanan pada usia 78 tahun.
Pemain pertahanan Jerman, Nathaniel Brown menyifatkan jaringan pertamanya untuk negara itu sebagai detik yang tidak akan dilupakan.
“Ia tidak dapat digambarkan. Menjaringkan gol dalam perlawanan pertama Piala Dunia, keluarga saya ada di sana, kemudian meraikannya bersama rakan sepasukan… ia benar benar luar biasa,” katanya.
Jerman dijangka berdepan ujian lebih sukar menentang Ecuador dan Ivory Coast selepas ini, namun kemenangan besar itu meletakkan mereka dalam posisi selesa untuk mara ke pusingan seterusnya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




