am@hmetro.com.my
Alor Gajah: Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Durian Tunggal, dekat sini, melahirkan kebimbangan berhubung keadaan padang sekolah yang sering dinaiki air akibat limpahan sungai bersebelahan terutama ketika hujan lebat berlarutan sehingga dua jam.
Keadaan itu dikatakan bukan perkara baharu, kerana kawasan berkenaan kerap mengalami banjir termenung setiap kali selepas hujan lebat sejak lebih lima tahun lalu, sekali gus menjejaskan penggunaan kemudahan sekolah yang terdapat 198 murid.
Yang Dipertuanya, V Pusparaja, 39, mendakwa limpahan air dari Sungai Durian Tunggal akan masuk ke kawasan sekolah apabila hujan berterusan.
Menurutnya, walaupun kejadian banjir tidak lagi seteruk yang berlaku seperti peristiwa sebelum ini namun keadaan sekarang masih menimbulkan kesukaran kepada murid.
Katanya, keadaan lebih membimbangkan terhadap risiko keselamatan apabila kawasan yang kerap dinaiki air itu berpotensi menjadi tempat pembiakan dan kemunculan haiwan berbisa seperti ular dan lipan.
“Beberapa kejadian kemunculan haiwan berkenaan pernah dilaporkan sebelum ini, sekali gus meningkatkan kebimbangan kepada murid prasekolah.
“Lebih membimbangkan, kelas prasekolah yang terletak di bangunan bawah dilihat lebih terdedah kepada risiko jika situasi banjir berulang,” katanya.
Katanya, penyelesaian jangka panjang amat diperlukan agar keselamatan dan keselesaan murid tidak terus terjejas.
“Keadaan ini turut menyukarkan perancangan aktiviti tahunan sekolah terutama pada musim hujan,” katanya.
Seorang penduduk, P Kalaiyarasu 46, mendakwa keadaan berkenaan semakin ketara sejak pembangunan di kawasan berdekatan termasuk projek perumahan.
Menurutnya, laluan aliran air sungai yang sedia ada didakwa tidak dapat menampung kapasiti air yang banyak terutama apabila hujan lebat.
Katanya, tindakan perlu dilakukan kerana tidak mahu berlaku seperti bulan lalu apabila acara sukan sekolah terpaksa ditunda pada hari lain gara-gara padang sekolah dipenuhi air meskipun khemah dan kanopi sudah disewa.
© New Straits Times Press (M) Bhd




