Lebih 13,000 etnik Rohingya di Kelantan, ada jadi tekong bawa PATI

Lebih 13,000 etnik Rohingya di Kelantan, ada jadi tekong bawa PATI

nfazlina@nstp.com.my

Kota Bharu: Lebih 13,000 etnik Rohingya yang dikenal pasti berada di Kelantan dengan 5,373 daripada mereka mempunyai kad Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR).

Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat, berkata kesemua mereka dalam pemantauan ketat pihaknya.

Menurutnya, etnik berkenaan dikesan berada di beberapa daerah termasuk di Tanah Merah, Kota Bharu, Pasir Puteh, Bachok, Jeli dan Kuala Krai.

Katanya, kebanyakan mereka bekerja sebagai buruh ladang, tukang rumah dan polis Kelantan sentiasa memantau lokasi mereka yang dikenal pasti.

“Sehingga kini kita kenal pasti 5,373 yang mempunyai kad UNCHR manakala lebih 8,000 tidak mempunyai kad. Setakat ini kita tidak menerima aduan daripada penduduk berhubung keresahan kehadiran etnik berkenaan.

“Berdasarkan rekod tahun lalu dan lima bulan pertama tahun ini, sebanyak 689 kes direkodkan membabitkan etnik berkenaan dengan tangkapan dilakukan sebanyak 1,548 individu.

“Daripada jumlah berkenaan, tahun lalu merekodkan 277 kes dengan 723 tangkapan manakala untuk lima bulan tahun ini meningkat iaitu 412 kes dengan 825 tangkapan. Kebanyakan tangkapan dilakukan di kawasan sempadan ketika cuba masuk ke negara ini melalui Kelantan.

“Tangkapan membabitkan kes kesalahan imigresen, penyeludupan migran, jenayah harta benda dan jenayah kekerasan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidnag media selepas menghadiri Perhimpunan Bulanan IPK Kelantan di sini, hari ini.

Beliau berkata, berdasarkan tangkapan yang dilakukan, ada di kalangan mereka yang sudah tinggal beberapa tahun menjadi tekong untuk membawa PATI.

“Kita sentiasa pertingkat kawalan terhadap etnik berkenaan dari semasa ke semasa.

“Kita juga memantau premis mereka seperti kelas mengaji dan madrasah ,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top