Iran sifatkan perjanijan damai dengan AS kemenangan besar buat rakyat

Iran sifatkan perjanijan damai dengan AS kemenangan besar buat rakyat

TEHERAN – Pusat Komando Khatam al-Anbiya iaitu markas tertinggi Angkatan Tentera Iran mendakwa musuh akhirnya akur dengan kehendak rakyat negara itu susulan pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) bagi menamatkan perang dengan Amerika Syarikat (AS).

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan awal pagi Isnin, markas berkenaan memuji ketabahan rakyat Republik Islam Iran atas apa yang disifatkan sebagai kemenangan gemilang negara itu.

Kenyataan tersebut turut merakamkan penghargaan kepada anggota angkatan tentera serta barisan pejuang penentangan atas ‘keazaman yang tidak berbelah bahagi’ sepanjang lebih 100 hari peperangan.

“Dengan limpah kurnia Tuhan Yang Maha Esa dan di bawah kepimpinan Pemimpin Revolusi Islam, rakyat Iran serta para pejuangnya telah membuktikan bahawa musuh Amerika dan Zionis tidak mempunyai pilihan selain menerima kekalahan dan menyerah diri,” menurut kenyataan itu.

Pusat komando berkenaan turut menegaskan bahawa ‘kehendak Ilahi dan semangat sekuat besi’ rakyat Iran kini menjadi benteng yang tidak dapat ditembusi terhadap sebarang bentuk pencerobohan, sekali gus membuktikan bahawa jalan penentangan merupakan satu-satunya jalan menuju kemenangan.

Kenyataan itu dikeluarkan tidak lama selepas Kementerian Luar Iran mengumumkan bahawa memorandum persefahaman antara Iran dan AS telah dimuktamadkan dan dijadual ditandatangani secara rasmi pada Jumaat di Switzerland.

Timbalan Menteri Luar Iran, Kazem Gharibabadi dilaporkan media tempatan sebagai berkata, teks MoU Islamabad telah dimuktamadkan.

“Majlis menandatangani memorandum persefahaman Islamabad secara rasmi akan berlangsung pada Jumaat di Switzerland,” katanya.

Beliau turut memaklumkan bahawa sekatan laut oleh AS terhadap Iran akan ditamatkan bermula malam berkenaan.

“Perang dan operasi ketenteraan di pelbagai medan, termasuk di Lubnan akan ditamatkan serta-merta dan secara kekal,” katanya.

Terdahulu, Perdana Menteri Pakistan, Shehbaz Sharif yang bertindak sebagai orang tengah dalam rundingan tersebut mengumumkan bahawa satu perjanjian damai antara AS dan Iran berjaya dicapai selepas rundingan intensif.

Menurut beliau, kedua-dua pihak bersetuju menamatkan serta-merta dan secara kekal semua operasi ketenteraan di semua medan, termasuk di Lubnan.

Perjanjian itu dicapai hampir 110 hari selepas pakatan AS-Israel melancarkan perang yang disifatkan Iran sebagai pencerobohan haram dan tidak berasas terhadap Republik Islam itu.

Walaupun gencatan senjata diumumkan pada awal April lalu, Iran mendakwa pihak lawan masih meneruskan tindakan keganasan maritim serta serangan ke atas Lubnan.

Iran sebelum ini menegaskan bahawa sebarang perjanjian bagi menamatkan perang mesti merangkumi semua medan konflik dan pada masa sama menjamin kepentingan nasional negara itu.-Agensi

Scroll to Top