Hampir setiap hari etnik Rohingya, warga Myanmar cuba masuk Malaysia melalui Tak Bai

Hampir setiap hari etnik Rohingya, warga Myanmar cuba masuk Malaysia melalui Tak Bai

nfazlina@nstp.com.my

Kota Bharu: Polis Kelantan mendedahkan hampir setiap hari etnik Rohingya dan warga Myanmar cuba menyeludup masuk ke negeri ini melalui Tak Bai, Thailand.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat, berkata ia berdasarkan pemantauan yang dilakukan pihaknya.

Malah katanya, mereka juga mengubah modus operandi dari menggunakan pangkalan haram di Sungai Golok kepada laluan laut selepas penutupan pangkalan haram.

“Kawasan perairan yang mempunyai banyak anak sungai di sekitar Pengkalan Kubor dikenal pasti menjadi laluan kemasukan penyeludupan pendatang asing tanpa izin (PATI) ke negara ini.

“Boleh dikatakan hampir setiap hari mereka cuba masuk, majoritinya membabitkan warga Myanmar dan etnik Rohingya untuk memasuki negara ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Perhimpunan Bulanan IPK Kelantan di sini, hari ini.

Jelasnya, Malaysia masih menjadi destinasi pilihan etnik Rohingya berikutan ramai saudara mara mereka sudah berada di negara ini selain faktor agama, keselamatan serta peluang pekerjaan.

“Kita sentiasa melakukan pemantauan dari semasa ke semasa bagi mengekang kemasukan migran ke negeri ini,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top