mohamadridzuan@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Bekas pengurus kumpulan Slam, Johan Aziz, 61, yang menerima rawatan di Hospital Canselor Tuanku Muhriz UKM (HCTM), Cheras, di sini, dilaporkan berada dalam keadaan kritikal.
Berita sedih ini dimaklumkan oleh anak keduanya, Nurul Halimahtul Saadiah atau DD kepada Harian Metro.
“Saya susah nak jelaskan lanjut keadaan terkini ayah sebab dia sudah kurang respons pada kita dan asyik tidur sahaja, malah nak makan ubat pun kena kejut.
“Dia macam ‘blur’ (keliru) sentiasa termasuk sewaktu hendak diberi ubat dan minum susu. Ayah sudah tiga hari dimasukkan ke wad, di sini.
“Sebelum ini ayah dimasukkan ke wad, tapi dibenarkan keluar. Kini dimasukkan semula sebab dia tak respons. Dia tak nak makan dan tak nak minum,” katanya kepada Harian Metro.
Menurutnya, bapanya kini dijaga oleh ibu mereka, Nor Hayati Salim, 59, dan boleh menerima kehadiran pelawat.
Terdahulu, Johan yang menghidap kanser usus dimasukkan ke sebuah pusat perubatan swasta di Jalan Ampang, di sini, pada 25 Januari lalu selepas didapati mengalami kanser pada tulang belakang.
Dia yang dilaporkan kritikal di Unit Rawatan Rapi (ICU) bagaimanapun kembali sedar selepas dua hari menerima rawatan.
Keadaannya kembali stabil dan dibenarkan pulang ke rumah pada 27 Januari lalu.
© New Straits Times Press (M) Bhd




