saifulaffendy@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: MKA Group mencipta satu lagi pencapaian membanggakan apabila syarikat automotif tempatan itu menerima pengiktirafan Malaysia Book of Records (MBOR) selepas menghasilkan pemegang grip motosikal rekaan Malaysia pertama yang digunakan dalam Kejohanan Dunia MotoGP.
Pengiktirafan berkenaan diberikan menerusi kejayaan penggunaan RCB Nagamaki Handle Grip dalam perlumbaan Grand Prix profesional, termasuk oleh pelumba yang beraksi dalam kategori MotoGP, Moto2 dan Moto3.
Kejayaan itu sekali gus membuktikan kualiti, prestasi serta kebolehpercayaan produk keluaran tempatan untuk digunakan di pentas tertinggi sukan permotoran dunia yang terkenal dengan tahap persaingan sengit.
RCB Nagamaki Handle Grip direka dan dibangunkan sepenuhnya di Malaysia oleh pasukan penyelidikan dan pembangunan (R&D) MKA Group yang memulakan projek berkenaan pada Disember 2020 dengan fokus terhadap aspek ergonomik, kawalan dan prestasi pelumba dalam situasi perlumbaan ekstrem.
Produk itu diinspirasikan daripada tsuka atau pemegang pedang katana serta teknik lilitan tsukamaki tradisional Jepun, sekali gus menghasilkan corak anyaman unik yang meningkatkan keselesaan, kestabilan dan kawalan ketika menunggang.
Selain membantu mengurangkan getaran, reka bentuk berkenaan turut berupaya meminimumkan keletihan serta kebas pada tangan, di samping meningkatkan maklum balas sentuhan dan kestabilan cengkaman ketika motosikal dipacu pada kelajuan tinggi.
Keupayaan produk berkenaan turut dibuktikan menerusi penggunaannya dalam perlumbaan MotoGP yang dianggap sebagai platform perlumbaan motosikal paling kompetitif di dunia.
“RCB amat berbesar hati menerima pengiktirafan daripada Malaysia Book of Records ini. Pencapaian ini bukan sahaja membanggakan syarikat kami dan jenama RCB, malah turut menjadi kebanggaan kepada industri kejuruteraan dan pembuatan Malaysia.
“Ia membuktikan bahawa produk yang direka dan dibangunkan oleh rakyat Malaysia mampu bersaing di pentas MotoGP dunia bersama produk terbaik di peringkat antarabangsa. Pencapaian ini mencerminkan komitmen berterusan kami terhadap kualiti, prestasi dan inovasi,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MKA Group, Bruce Lee.
© New Straits Times Press (M) Bhd




