TAIPING – Berat badan dua ekor gajah Asia dari Malaysia yang ditempatkan di Tennoji Zoo, Osaka, Jepun iaitu Dara dan Amoi masing-masing menunjukkan peningkatan sebanyak 85 kilogram (kg) dan 60kg hasil pemantauan terkini.
Yang Dipertua Majlis Perbandaran Taiping (MPT), Mohamed Akmal Dahalan berkata, peningkatan berat badan itu merupakan petunjuk bahawa keperluan pemakanan dan penjagaan kesihatan kedua-dua gajah tersebut dipenuhi dengan baik.
Menurutnya, seekor lagi gajah jantan, Kelat, pula merekodkan penurunan berat badan sebanyak 220kg namun keadaan itu disebabkan haiwan berkenaan sedang melalui fasa musth iaitu proses fisiologi semula jadi yang lazim berlaku kepada gajah jantan dewasa.
“Dalam tempoh musth, perubahan hormon yang ketara boleh menyebabkan perubahan selera makan dan peningkatan aktiviti fizikal. Oleh itu, penurunan berat badan Kelat adalah ciri normal bagi gajah jantan yang melalui fasa tersebut.
“MPT ingin menjelaskan bahawa laporan berkala yang diterima daripada Tennoji Zoo menunjukkan ketiga-tiga ekor gajah tersebut berada dalam keadaan sihat, menerima penjagaan harian yang berterusan serta dipantau secara rapi oleh pasukan penjaga haiwan dan pegawai veterinar yang berpengalaman,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Sementara itu, Mohamed Akmal menjelaskan, dakwaan tular di media sosial kononnya Kelat diasingkan daripada Dara dan Amoi atas faktor kebajikan adalah tidak tepat kerana tindakan itu merupakan prosedur pengurusan standard sepanjang tempoh musth.
Menurutnya, paras hormon testosteron yang meningkat ketika musth boleh menyebabkan perubahan tingkah laku termasuk menjadi lebih dominan, sensitif dan agresif, justeru pengasingan sementara dilaksanakan bagi menjamin keselamatan haiwan, penjaga serta pengunjung zoo.
“Fasa musth Kelat kini telah berakhir dan ia ditempatkan semula bersama Dara dan Amoi.
“Pemantauan mendapati Kelat berinteraksi dengan baik serta mempamerkan tingkah laku normal dan positif bersama kedua-dua gajah tersebut,” katanya.
Beliau turut menafikan dakwaan bahawa ketiga-tiga gajah berkenaan tidak menerima makanan mencukupi, sebaliknya rekod diet harian Tennoji Zoo menunjukkan bekalan makanan disediakan mengikut keperluan nutrisi spesies dan keadaan fisiologi setiap haiwan.
Katanya, peningkatan berat badan Dara dan Amoi sejak ketibaan mereka menjadi bukti bahawa pengambilan makanan dan tahap kesihatan gajah-gajah tersebut berada pada tahap memuaskan.
“MPT sentiasa berhubung dengan pengurusan Tennoji Zoo dan menerima laporan berkala berkaitan aspek kesihatan, pemakanan, tingkah laku serta kebajikan haiwan bagi memastikan pemantauan berterusan,” menurutnya.
Dalam pada itu, Mohamed Akmal memaklumkan salinan perjanjian penempatan ketiga-tiga gajah tersebut telah dikemukakan kepada Jawatankuasa Pilihan Alam Sekitar, Sains dan Perladangan Parlimen Malaysia pada 28 April lalu bagi tujuan semakan dan rujukan.
Menurut beliau, MPT komited terhadap prinsip ketelusan, akauntabiliti dan tadbir urus yang baik serta akan terus mengutamakan kebajikan, kesihatan dan keselamatan Dara, Amoi dan Kelat dalam pelaksanaan program kerjasama konservasi antarabangsa itu.
Menerusi laporan media sebelum ini MPT menjelaskan tiga ekor gajah berkenaan yang kini ditempatkan di Tennoji Zoo, Osaka, Jepun melibatkan perjanjian bersama Zoo Taiping & Night Safari (ZTNS) bagi tempoh selama 25 tahun.
Perjanjian itu merupakan kerjasama antarabangsa yang dipersetujui di antara Tennoji Zoo dengan ZTNS yang diwakili oleh MPT dan telah dipersetujui pada Mei dan Oktober 2022.



