LONDON: Crystal Palace secara rasmi melantik Pierre Sage sebagai pengurus baharu kelab itu bagi menggantikan Oliver Glasner yang meninggalkan juara Liga Konferens Eropah tersebut pada penghujung musim lalu.
Pengendali berusia 47 tahun dari Perancis itu menandatangani kontrak selama tiga tahun selepas mencipta impak besar bersama Lens sepanjang kempen lalu.
Sage mencuri perhatian apabila membimbing Lens menamatkan saingan Ligue 1 di tempat kedua sekali gus melayakkan kelab itu ke Liga Juara-Juara selain menghadiahkan trofi Piala Perancis pertama dalam sejarah mereka.
“Ia sesuatu yang menakjubkan untuk berada di Crystal Palace dan saya teruja dengan sejarah serta pencapaian kelab ini sejak beberapa musim kebelakangan ini.
“Oliver Glasner telah melakukan perkara yang hebat dan kini saya perlu melakukan perkara yang sama, sebab itu saya datang dengan penuh cita-cita,” katanya.
Bekas jurulatih Lyon itu turut dinobatkan sebagai Jurulatih Terbaik Ligue 1 selepas musim sulung cemerlang bersama Lens sebelum dipancing Palace untuk meneruskan pembangunan pasukan.
“Suasana di sini sangat positif dan kami juga mempunyai mentaliti yang sama.
“Kami menang musim lalu dan mahu meneruskan budaya kemenangan itu dalam projek baharu ini,” ujarnya.
Sementara itu, pengerusi Crystal Palace, Steve Parish percaya Sage memiliki kredibiliti untuk meneruskan kemajuan kelab yang bakal beraksi dalam Liga Europa musim depan hasil kejayaan menjuarai Liga Konferensi Eropah.
Palace sebelum ini turut mencipta sejarah apabila menewaskan Manchester City untuk menjulang trofi Piala FA pertama kelab pada 2025, sekali gus meletakkan harapan tinggi terhadap era baharu di bawah kendalian Sage. – AGENSI




