‘Podcast yang sarat ilmu tontonannya biasa saja, kandungan yang jadi bahan jenaka naik mendadak’

‘Podcast yang sarat ilmu tontonannya biasa saja, kandungan yang jadi bahan jenaka naik mendadak’

PETALING JAYA: Usahawan dan pempengaruh, Asyraf Khalid meluahkan kebimbangannya terhadap corak kandungan audio siar atau podcast yang dilihat semakin cenderung mengangkat elemen sensasi berbanding perbincangan yang memberi manfaat kepada penonton.

Menerusi perkongsian di Threads, Asyraf berpendapat podcast yang menampilkan perbincangan ilmiah dari tetamu berpengalaman serta topik yang serius kurang mendapat sambutan l setanding kandungan yang berbentuk hiburan atau jenaka.

“Ada satu corak yang saya perasan dalam dunia podcast di Malaysia sekarang. Podcast yang sarat dengan ilmu, menampilkan tetamu berpengalaman dan perbualan yang mendalam, biasanya tontonannya biasa saja.

“Tidak meledak. Namun apabila ada seseorang hadir ke podcast lalu dijadikan bahan jenaka, jumlah tontonan melonjak dengan mendadak. Semua orang mahu menontonnya. Bukan kerana kandungannya berkualiti, tetapi kerana individu itu dijadikan kandungan.

“Dan itulah yang paling membimbangkan. Apabila kamu menjadi tular kerana orang mentertawakan kamu, bukan ketawa bersama kamu, ketika itu anda sebenarnya sudah hilang kawalan cerita diri sendiri,” katanya.

Dalam masa sama, Asyraf berpendapat masyarakat juga memainkan peranan penting dalam menentukan hala tuju serta mutu sesebuah kandungan yang dihasilkan oleh penggiat industri digital.

Kata Asyraf, selagi kandungan berunsur sensasi terus mendapat sokongan dan perhatian ramai, semakin ramai pencipta kandungan akan menghasilkan perkara yang sama demi mengejar tontonan dan keuntungan.

“Dan apabila kita terus menyokong kandungan seperti itu, jangan hairan jika semakin ramai yang melakukan perkara yang sama. Itulah yang mendapat tontonan. Itulah yang menjana pendapatan.

“Sama seperti dalam mana-mana industri. Apabila sesuatu yang berkualiti tidak mendapat sokongan, perkara yang mudah dan murah akan terus mendominasi kerana itulah yang diminta oleh pasaran.

“Apa yang kita tonton, itulah yang kita sokong. Dan apa yang kita sokong, itulah yang akan terus dihasilkan,” ujarnya.

Difahamkan perkongsian tersebut dimuat naik susulan tular sebuah sesi audio siar yang menampilkan seorang individu berbadan besar dan segala perkongsiannya didakwa menjadi bahan ketawa.

Scroll to Top