15 beg jumbo 'e-waste' bernilai RM3 juta dirampas, 5 individu ditahan

15 beg jumbo 'e-waste' bernilai RM3 juta dirampas, 5 individu ditahan

am@hmetro.com.my

Bukit Mertajam: Polis menyerbu premis yang dipercayai menjalankan aktiviti penyimpanan serta pemprosesan sisa ‘e-waste’ di sini, pagi semalam dan merampas15 beg jumbo berisi pelbagai komponen elektronik dan papan litar elektrik dianggarkan bernilai RM3 juta.

Serbuan ‘Op Hazard’ yang bermula jam 11.30 pagi itu diadakan dengan kerjasama Jabatan Alam Sekitar (JAS) Pulau Pinang, Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP).

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Nik Aminuddin Raja Abdullah, berkata polis menahan lima individu terdiri daripada tiga pemilik serta pengendali premis dan dua warga asing yang kesemuanya berusia antara 35 hingga 60 tahun.

“Siasatan awal mendapati premis dipercayai telah beroperasi sejak setahun lalu sebagai pusat penyimpanan dan pemprosesan bahan e-waste.

“Hasil pemeriksaan turut mendapati premis berkenaan tidak memiliki lesen perniagaan yang sah yang MBSP telah mengeluarkan dua kompaun atas kesalahan berkenaan.

“Dalam serbuan itu, polis menahan lima individu terdiri tiga warga tempatan dipercayai pemilik serta pengendali premis dan dua warga asing selepas gagal mengemukakan permit kerja yang sah,” katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Nik Aminuddin berkata, JAS negeri turut mengambil sampel bahan e-waste terbabit bagi tujuan analisis dan pengesahan mengikut peruntukan Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.

“Kesemua yang ditahan direman iaitu tiga daripadanya selama satu hari dan dua warga asing selama empat hari,” katanya.

Kes disiasat dibawah Seksyen 55B Akta Imigresen 1959/63 kerana menggaji warga asing yang tidak memiliki pas atau permit kerja yang sah serta Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 kerana melanggar syarat pas yang dikeluarkan.

Manakala JAS pula menjalankan siasatan mengikut Seksyen 18(1) Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 dan Seksyen 31 akta sama.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top