Umat Islam sambut 1 Muharam dengan mengimarahkan masjid, surau

Umat Islam sambut 1 Muharam dengan mengimarahkan masjid, surau

Kuala Lumpur: Ketibaan 1 Muharam disambut dengan penuh penghayatan dan keinsafan apabila umat Islam di seluruh negara malam ini mengimarahkan masjid dan surau untuk bersama-sama mengikuti pelbagai pengisian rohani sempena Maal Hijrah 1448H/ 2026M.

Antara program yang diadakan ialah bacaan Yasin, doa akhir dan awal tahun Hijrah, solat berjemaah, tazkirah serta munajat yang disertai jemaah pelbagai peringkat usia, sekali gus menandakan bermulanya lembaran baharu dalam kalendar Islam.

Sambutan itu bukan sahaja memperingati peristiwa hijrah Rasulullah SAW, malah menjadi medan muhasabah diri, memperteguh keimanan serta memperbaharui azam dalam usaha meningkatkan amal ibadah, di samping memohon keberkatan, petunjuk dan rahmat Allah SWT.

Di PUTRAJAYA, lebih 1,000 jemaah menyertai program Majlis Bacaan Doa Maal Hijrah dan Tausiyah Maal Hijrah Peringkat Kebangsaan Tahun 1448H/2026M di Masjid Putra di sini, yang turut dihadiri Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dr Zulkifli Hasan.

Program yang bermula sejak 4 petang itu diisi dengan aktiviti kerohanian serta ibadah termasuk tadabburAl-Quran oleh pendakwah dan qari terkenal antaranya Ustaz Hassan Adli, Ustaz Tirmizi Ali dan Ustaz Aiman Ridhwan.

Sementara di MELAKA, sambutan Maal Hijrah 1448H/2026M peringkat negeri itu berlangsung di Masjid Falihin Kampung Alai, Merlimau yang disempurnakan Yang Dipertua Negeri Melaka Tun Mohd Ali Rustam dan dihadiri Ketua Menteri Datuk Seri Ab Rauf Yusoh serta Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri Datuk Rahmad Mariman.

Pada majlis dihadiri lebih 500 tetamu itu, sebanyak 13 anugerah disampaikan kepada penerima antaranya Tokoh Maal Hijrah, Tokoh Perkhidmatan Awam, Tokoh Anugerah Penguatkuasaan dan Tokoh Keluarga Mithali.

Di SELANGOR ,Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan menyampaikan Anugerah Tokoh Maal Hijrah 1448 kepada bekas Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof sempena Sambutan Maal Hijrah Peringkat Negeri di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam.

Terdahulu, Sultan Sharafuddin turut berkenan berangkat menghadiri Majlis Ambang Hijrah yang dimulakan dengan doa akhir tahun dipimpin Imam Abu Dzar Adanan serta doa awal tahun dipimpin oleh Imam Besar Datuk Muhammad Farhan Wijaya selepas solat maghrib berjemaah.

Baginda kemudian berkenan mendengar ceramah khas Maal Hijrah disampaikan Pensyarah Kanan Akademi Pengajian Islam Kontemporari Universiti Teknologi MARA (UiTM) Dr Mohd Hapiz Mahaiyadin sebelum menunaikan solat isyak berjemaah.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top